Isnin, 25 Jun 2018 | 4:14pm

Media Prima, MRCB raih Anugerah Emas ARA

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (Media Prima) dan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) meraih pencapaian berprestij, Anugerah Emas pada Anugerah Pelaporan Australasia 2018 di Sydney, Australia pada 20 Jun lalu.

Laporan Tahunan Media Prima 2016 bertemakan "Cerita Kami", diiktiraf sebagai "Pencapaian Cemerlang Dalam Laporan" pada anugerah tahunan yang dianjurkan Australasian Reporting Awards Ltd (ARA), organisasi bukan keuntungan bebas yang dikendalikan profesional sukarela.

Anugerah itu diterima oleh Pengurus Besar Komunikasi Korporat Media Prima, Azlan Abdul Aziz.

Ia juga menjadi pengiktirafan kedua ARA kepada syarikat media bersepadu itu selepas meraih Anugerah Gangsa bagi Laporan tahunan 2015 dengan tema "Semua dihitung".

"Media Prima sangat berbesar hati untuk menerima pengiktirafan ini dengan kami terus menjadikan penanda aras laporan tahunan kami dengan amalan serantau dan global terbaik.

"Ini adalah tahun kedua kami mengemukakan laporan tahunan kami untuk dinilai oleh panel hakim ARA dan kami bangga untuk membuat penambahbaikan selanjutnya dalam pelaporan kami," kata Azlan dalam satu kenyataan di sini.

Azlan berkata, pengiktirafan itu menjadi bukti komitmen syarikat untuk kekal telus, tepat dan bertanggungjawab dalam mempromosikan piawaian pelaporan yang lebih tinggi.

"Kredit untuk semua yang menjadikan anugerah ini sebagai kenyataan," katanya,

Sementara itu, MRCB juga antara empat finalis bagi Penyertaan Pertama Kali Terbaik, selain turut menerima Anugerah Emas.

"Anugerah Emas mewakili piawaian pelaporan tertinggi, berdasarkan amalan terbaik dunia dan tanda aras antarabangsa yang memberi tumpuan kepada ketelusan dan kebertanggungjawaban.

"Kemenangan yang diraih MRCB menerusi Laporan Tahunan 2016 membuktikan pendirian kami untuk menegakkan piawaian tertinggi pelaporan kewangan dan komunikasi pihak berkepentingan," kata Ketua Pegawai Korporat MRCB, Amarjit Chhina dalam satu kenyataan.

"Ia juga menjadi pengiktirafan terhadap usaha pasukan yang menyiapkan laporan tahunan yang memberikan penekanan kepada komunikasi telus kepada semua pihak berkepentingan," tambah Amarjit.

MRCB berada sebaris dengan organisasi terkemuka lain yang menerima Anugerah Emas termasuk Pejabat Audit New South Wales, Jabatan Hasil Dalam Negeri New Zealand, Suruhanjaya Kehakiman New South Wales, Suruhanjaya Perisikan Jenayah Australia, Woodside Petroleum Ltd dan CLP Holdings Ltd.

Australian Broadcasting Corp yang juga menerima Anugerah Emas turut memenangi Laporan Tahunan Terbaik ARA 2018.

Anugerah tahunan ARA turut dikenali dengan standard tinggi bagi proses adjudikasi dengan penyertaan diterima dari Australia, New Zealand, Hong Kong, India, Indonesia, Malaysia, Filipina, Qatar, Sri Lanka dan Russia.

Ditubuhkan pada 1950, anugerah tahunan ARA diuruskan oleh Australasian Reporting Awards Ltd dengan sokongan badan profesional yang mementingkan kualiti dalam pelaporan perniagaan dan kewangan.

Berita Harian X