Rabu, 27 Jun 2018 | 3:50pm

Alam Maritim sasar projek RM1.2 bilion

KUALA LUMPUR: Alam Maritim Resources Bhd (AMRB), penyedia perkhidmatan sokongan minyak dan gas bersepadu, menyasarkan pembidaan projek berkaitan minyak dan gas (O&G) bernilai RM1.2 bilion sehingga akhir tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan AMRB, Datuk Azmi Ahmad, berkata daripada jumlah itu, 10 hingga 15 peratus daripadanya disasarkan bagi kontrak baharu yang kebanyakannya adalah projek di dalam negara.

"Beberapa projek berkenaan termasuk projek kapal sokongan luar pesisir (OSV), pembinaan dan pemasangan luar pesisir (OIC) serta di dasar laut dan penyelenggaraan penyelenggaraan pemeriksaan kemudahan bawah air (IRM)," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi AMRB, Fina Norhizah Baharu Zaman.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, tahun ini kekal mencabar bagi industri perkhidmatan sokongan O&G terutama bagi OSV.

"Meskipun kenaikan harga minyak mentah yang progresif pada 2017, pemulihan industri perkhidmatan sokongan masih dipengaruhi oleh hutang tidak terjual, kemudahan kredit yang sukar, kekurangan pelaburan baharu terutama dalam kapasiti pengeluaran serta penurunan harga.

"Bagaimanapun, kami masih berupaya mengekalkan operasi di tengah-tengah situasi mencabar ini dan akan terus mengekalkan kedudukan kami sebagai salah satu penyedia perkhidmatan sokongan utama bagi O&G di negara ini," katanya.

Bagi tahun kewangan 2017 (TK2017), AMRB merekodkan perolehan sebanyak RM161.07 juta berbanding RM229.48 juta pada tahun sebelumnya yang mana sebahagian besarnya disebabkan kadar penggunaan kapal dan kadar sewaan harian lebih rendah selain pengurangan kontrak untuk perkhidmatan dasar laut serta OIC.

Pada 31 Disember 2017, AMRB mempunyai nilai tempahan sebanyak RM197.75 juta, manakala setakat ini, nilai tempahan kumpulan itu merekodkan kira-kira RM333 juta termasuk beberapa penerimaan kontrak baharu.

Sebagai perancangan untuk memastikan kelestarian operasi pada masa depan, Azmi juga berkata, kumpulan turut melaksanakan Pengstrukturan Semula Hutang Korporat (CDRC).

"Pada 30 Mac 2018, AMRB menerima kelulusan daripada peminjam masing-masing dan pemberi pinjaman untuk skim penstrukturan itu.

"Penstrukturan semula itu berjaya menangguhkan aliran keluar tunai sebanyak RM160.8 juta bagi tahun kewangan 2018, sekali gus mengurangkan komitmen kewangan kami," katanya.

Berita Harian X