Khamis, 28 Jun 2018 | 2:25pm

Radiant Globaltech akan disenarai di Pasaran ACE

KUALA LUMPUR: Radiant Globaltech Bhd akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd bagi mengembangkan jejak serantaunya dan meraih dana untuk menyokong pelan pengembangannya.

Pengarah Urusan, Yap Ban Foo, berkata kumpulan itu turut menyasarkan memperoleh RM29.5 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO).

"Kami menyedari pertumbuhan ekonomi dan pembandaran yang pesat di rantau Asia Tenggara, yang akan mewujudkan persekitaran kondusif dalam sektor runcit. Jangkaan perubahan daripada sistem manual kepada penyelesaian teknologi runcit automatik membuka peluang kepada pertumbuhan kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyedia penyelesaian teknologi runcit itu merancang mengembangkan perniagaannya ke Indonesia dalam tempoh terdekat selepas menempa kejayaan di Vietnam dan Kemboja.

IPO kumpulan itu membabitkan terbitan 128.1 juta saham baharu pada 23 sen sesaham.

Daripada jumlah itu,11 juta saham adalah untuk permohonan rakyat Malaysia, 21.1 juta saham kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak selepas menyumbang kepada kejayaan kumpulan, manakala 96 juta saham lagi sebagai tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.

Jualan 12 juta saham sedia ada sebagai tawaran saham persendirian juga akan diperuntukkan kepada pelabur terpilih.

Sebanyak RM11.6 juta daripada keseluruhan RM29.5 juta jumlah IPO akan digunakan untuk perniagaan dan pengembangan modal, RM3 juta untuk mengembangkan perniagaan perisian runcit kumpulan itu, manakala baki RM4.8 juta lagi diperuntukkan sebagai modal kerja.

Selain itu, RM6.6 juta akan digunakan untuk membayar semula pinjaman bank dan RM3.5 juta bagi membayar perbelanjaan penyenaraiannya. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X