Khamis, 28 Jun 2018 | 6:41pm

Prudential cadang laksana IPO anak syarikat

KUALA LUMPUR: Prudential Plc bercadang untuk menyenaraikan anak syarikatnya di Malaysia dalam usaha mencari jalan mengurangkan pegangannya dalam syarikat itu, kata sumber.

Syarikat insurans United Kingdom (UK) itu menghantar permohonan pelaksanaan Tawaran Awam Permulaan (IPO) bagi anak syarikatnya di Malaysia pada bulan lalu, kata sumber itu.

Penjualan saham itu dijangka meraih dana kira-kira AS$700 juta (RM2.81 bilion), demikian mengikut sumber yang enggan mendedahkan identitinya memandangkan ia maklumat sulit.

Bagaimanapun Prudential belum memuktamadkan sama ada untuk meneruskan penyenaraian, dan ia masih pertimbangkan alternatif lain seperti mencari pembeli untuk pemilikan kepentingan minoriti.

Bank Negara Malaysia menggesa syarikat insurans asing untuk mengurangkan pegangan mereka dalam syarikat tempatan kepada tidak lebih 70 peratus kerana ia lebih tegas menguatkuasakan had pemilikan.

Pada awalnya, pengawal selia itu memberi tempoh kepada syarikat asing sehingga 30 Jun untuk mengurangkan pegangan mereka.

Syarikat insurans Singapura, Great Eastern Holdings Ltd dan syarikat Jepun, Tokio Marine Holdings Inc adalah antara yang berusaha untuk mengurangkan pegangan mereka.

Tidak ada kepastian pertimbangan Prudential akan menuju kepada mana-mana transaksi, demikian kata sumber itu.

Prudential boleh menunggu sehingga Gabenor Bank Negara yang baharu mengambil alih pejabat sebelum memutuskan sama ada untuk meneruskan, kata salah seorang sumber berkenaan.

Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, yang dilantik ke jawatan Gabenor bank pusat pada bulan lalu dan akan memulakan tugasnya itu 1 Julai ini selama lima tahun.

Beliau menggantikan Tan Sri Muhammad Ibrahim, yang meletak jawatan pada bulan ini selepas pertanyaan dibangkitkan mengenai peranan bank pusat dalam perjanjian berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Prudential berkata dalam kenyataan yang diemail bagi mematuhi peraturan tempatan di pasaran yang mana ia beroperasi, dan syarikat itu sangat komited untuk berkhidmat dalam menyediakan perlindungan jangka panjang dan keperluan simpanan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas sebarang rancangan IPO. -Bloomberg

Berita Harian X