Jumaat, 29 Jun 2018 | 4:43pm

Pengarah urusan MAHB diumum tahun ini

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan mengumumkan pelantikan pengarah urusan pada tahun ini juga.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata akan ada proses pengambilan dan penyenaraian singkat sebelum pihaknya dapat membentangkan calon yang disenarai pendek kepada Kementerian Kewangan.

"Kami akan mengumumkannya (pelantikan) dalam masa terdekat. Proses pemilihan boleh menjadi lebih pendek atau lebih lama. Buat masa ini, kita perlu mendapat pengesahan yang tepat," katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-20 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Raja Azmi berkata, masih terlalu awal untuk mendapatkan pengganti bagi jawatan berkenaan, memandangkan kontrak pengarah urusan sebelum ini hanya tamat pada 22 Jun lalu.

Bekas Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali, memegang jawatan berkenaan sejak 23 Jun 2014, bagi menggantikan Tan Sri Bashir Ahmad yang berada di kedudukan berkenaan lebih sedekad.

Selain perubahan di peringkat pengurusan, Raja Azmi berkata, operasi perniagaan MAHB berjalan seperti biasa, namun dalam masa sama menekankan inisiatif strategik untuk pengembangan operasi lapangan terbang dan pembangunan Aeropolis.

"Kami akan menilai semua pelaburan sewajarnya berdasarkan pulangan dan daya maju komersil untuk syarikat," katanya.

Menurutnya, pengendali lapangan terbang itu berupaya untuk memastikan operasinya memenuhi standard kualiti perkhidmatan dalam tempoh suku ketiga tahun ini.

"Kemudahan tertentu akan diakses secara berperingkat daripada tahun ini hingga tahun depan terutama membabitkan sistem bagasi dan kereta api.

"Kami akan melihat perkara ini secara berterusan untuk kemampanan dan kesinambungan kecekapan operasi lapangan terbang," katanya.

Beliau berkata, MAHB hanya akan memulakan pengembangan lapangan terbangnya di terminal utama sebaik saja keupayaan bagi KLIA dan terminal Klia2 melebihi 75 juta penumpang.

"Kami memiliki beberapa ruang bagi menempatkan penumpang dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan terdapat dua bahagian dalam pengembangan lapangan terbang termasuk digitalisasi dan pengoptimuman," katanya.

Menurutnya, syarikat akan mengoptimumkan operasi di kaunter daftar masuk untuk menampung lebih ramai penumpang di samping mendigitalkan lapangan terbang bagi perjalanan tanpa batasan dan lebih baik.

"Setakat ini, gabungan kedua-dua lapangan terbang iaitu KLIA dan terminal Klia2 masih memiliki kapasiti sehingga 75 juta penumpang dan apabila jumlah penumpang mencapai kapasiti maksimum, kami tidak akan menangguhkan sebarang pelan untuk menanganinya," katanya.

Pada tahun lalu, gabungan kapasiti penumpang KLIA dan terminal Klia2 mencapai jumlah seramai 58 juta penumpang.

Mengulas kadar caj perkhidmatan penumpang (PSC) di kedua-dua terminal, Raja Azmi berkata, pihaknya mengikuti semua kadar yang diwartakan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bagi semua lapangan terbang di seluruh negara.

Menurutnya, syarikat sudah memperbaharui dan hanya mengikut segala perkara ditetapkan oleh suruhanjaya terbabit.

Berita Harian X