Selasa, 3 Julai 2018 | 9:21pm
Presiden Sunway, Datuk Chew Chee Kin.

Sunway tubuh dana modal teroka baharu

KUALA LUMPUR: Sunway Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Sunway City Sdn Bhd hari ini memeterai Perjanjian Permulaan Perkongsian Liabiliti Terhad bagi menubuhkan satu dana modal teroka yang baharu, Sun SEA Capital LP, dengan cadangan pelaburan sebanyak AS$5 juta.

Sunway dalam satu kenyataan berkata, penubuhan dana modal teroka serta pelaburan seterusnya akan membolehkan mereka memacu transformasi digital melalui pelaburan ke dalam syarikat pemula niaga digital yang bersinergi dan menjalankan usaha pengumpulan dana luaran untuk mengembangkan syarikat pemula niaga itu.

Sun SEA Capital, melalui pelaburan awal, merancang untuk mempunyai saiz dana sebanyak AS$50 juta, akan berusaha bagi menyediakan pemula niaga dalam rantau Asia Tenggara dan Hong Kong akses kepada pelaburan Siri A yang bernilai AS$1 juta kepada AS$3 juta setiap saiz tiket.

Presiden Sunway, Datuk Chew Chee Kin, berkata LPA yang ditandatangani menandakan lonjakan dalam usaha pendigitalan dan jangkauan kumpulan berkenaan di rantau ini.

"Kami berharap supaya Sun SEA Capital mampu menarik bakat hebat dari seluruh rantau ini yang mahu mendapatkan pertumbuhan yang mampan dengan kami," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X