Isnin, 9 Julai 2018 | 4:13pm

AmGeneral sasar peningkatan premium bertulis kasar

KUALA LUMPUR: AmGeneral Insurance Bhd menyasarkan pertumbuhan dua hingga tiga peratus dalam premium bertulis kasar (GWP) bagi tahun kewangan semasa berakhir Mac 2019, berbanding RM1.5 bilion yang dicatatkan pada Mac 2018.

Unjuran sederhana itu adalah sejajar dengan jangkaan industri.

"Sejak bertahun lamanya, industri pernah berkembang tujuh hingga lapan peratus setahun. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, industri beroperasi dalam persekitaran pertumbuhan yang rendah," kata Ketua Pegawai Eksekutif AmGeneral Insurance, Derek Roberts.

Roberts merujuk kepada mandat kadar tarif Bank Negara Malaysia yang berkuat kuasa 1 Julai 2017, yang mana perlindungan kebakaran dan kecurian komprehensif dan pihak ketiga telah diliberalisasikan.

Sejak itu, pengguna boleh memilih daripada pelbagai produk insurans motor yang lebih murah untuk memenuhi keperluan mereka.

Rangkaian AmGeneral Insurance yang ketika ini kira-kira 7,000 ejen menawarkan perkhidmatannya kepada satu dalam setiap enam kereta di Malaysia menerusi dua jenama, AmAssurance dan Kurnia Insurans.

"Kami menjangkakan pertumbuhan satu angka antara dua hingga tiga peratus dalam GWP bagi tahun kewangan semasa.

"Kami sentiasa meninjau peluang untuk mengembangkan perniagaan bukan motor, seperti insurans kerosakan kebakaran. Kami juga melihat bantuan penggunaan digital bagi menyokong ejen kami," katanya.

Roberts berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran 'auto365 Comprehensive Premier', dengan tema 'auto365 third party fire & theft premier', di sini.

Hadir sama, Naib Presiden Produk, Harga dan Taja Jamin AmGeneral Insurance, Simon Herbert dan Ketua Pegawai Pengagihan AmGeneral Insurance, Grace Quah.

Roberts menjelaskan, manfaat daripada ciri produk yang dipertingkatkan itu membabitkan "perlindungan pelanggaran salah" yang bermakna perlindungan kini menyediakan pemegang polisi perlindungan sehingga RM5,000 bagi setiap kemalangan meskipun jika ia adalah salah mereka.

Pada bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AMMB Holdings Bhd, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata kumpulan perbankan itu meninjau untuk menjual unitnya yang tidak penting.

AMMB mempunyai 51 peratus kepentingan dalam AmGeneral Holdings, yang memiliki sepenuhnya AmGeneral Insurance Bhd, sementara baki 49 peratus kepentingan dipegang syarikat insurans terbesar Australia, Insurance Australia Group Ltd.

Apabila diminta mengulas mengenai perkara itu, Roberts berkata, ia adalah bergantung kepada pemegang saham untuk menimbang mengenai pilihan mereka.

Bagi peringkat pengurusan, beliau menjelaskan, perniagaan berjalan seperti biasa.

Berkenaan satu lagi laporan berita bahawa AmGeneral Insurance akan dinilai antara AS$400 juta dan AS$500 juta, Roberts membalas: "Kami tidak boleh mengulas berdasarkan kepada spekulasi terhadap penilaian."

Berita Harian X