Khamis, 12 Julai 2018 | 5:36pm
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (dua kanan) menerima cenderahati daripadaPengarah Urusan Scania Asia Tenggara, Marie Sjodin Enstrom (dua kiri) selepas merasmikan cawangan Scania Pelabuhan Klang yang baru ditingkatkan di Scania Malaysia Sdn Bhd, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang. Turut bersama Timbalan Ketua Misi, Urusan Ekonomi & Politik, Kedutaan Sweden, Ola Pihlblad (kanan), Pengurus Bengkel Scania Pelabuhan Klang, S Kamalaventhan (kiri). - Foto Faiz Anuar

PKA mahu lakukan pembiayaan semula hutang RM3.8 bilion

PELABUHAN KLANG: Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) mahu melakukan pembiayaan semula hutangnya sebanyak RM3.8 bilion dengan kerajaan persekutuan supaya tidak perlu menggunakan rizabnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pada 2013, PKA meminjam RM3.8 bilion daripada kerajaan persekutuan dan pinjaman itu dilaksanakan dengan Kementerian Kewangan (MoF) yang mana pembayaran balik sudah bermula tahun ini.

"Di bawah perjanjian pinjaman itu, PKA perlu membuat bayaran balik tahunan sebanyak RM222 juta kepada Kementerian Kewangan.

"Pendapatan tahunan PKA hanya berjumlah RM266 juta, di mana RM80 juta adalah kos pentadbiran, manakala RM6 juta bagi penyelenggaraan.

"Kami sedang berusaha untuk melakukan pembiayaan semula hutang PKA sebanyak RM3.8 bilion dengan MoF, supaya ia tidak menjejaskan rizab PKA sebanyak RM380 juta. Kami hanya meraih pendapatan tahunan RM80 juta daripada sewa perindustrian di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ)," katanya dalam satu taklimat di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamarudin Jaffar; Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; dan Pengurus Besar PKA, Kapten Subramaniam Karuppiah.

Sementara itu, Loke berkata Pengerusi PKFZ yang bakal dilantik bukan dari kalangan ahli politik.

Beliau berkata, ia sejajar dengan pendirian kerajaan untuk melantik profesional sahaja bagi mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Kami telah mencadangkan seorang akauntan untuk jawatan itu. Gaji bulanannya tidak lebih daripada RM10,000," katanya.

Ditanya mengenai kedudukan pengerusi PKA dan pemilihan ahli lembaga pengarah, Loke berkata tidak ada masalah untuk melantik ahli politik, memandangkan PKA adalah badan berkanun dan bukan syarikat berorientasikan keuntungan seperti PKFZ.

Berita Harian X