Jumaat, 13 Julai 2018 | 4:14pm
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk N. Rajendran (kanan) menukar MOU antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin (kiri) semasa Majlis Menandatangani Mou antara Mida dan MAHB di Ibu Pejabat Mida, di Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk N. Rajendran (kanan) menukar MOU antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin (kiri) semasa Majlis Menandatangani Mou antara Mida dan MAHB di Ibu Pejabat Mida, di Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KLIA Aeropolis, Taman Aerotech Subang bantu tarik FDI

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meneruskan usaha mempromosi dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) melalui dua lokasi utama iaitu KLIA Aeropolis dan pembangunan Taman Aerotech Subang.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata MAHB kini dalam usaha melengkapkan ekosistem pembangunan KLIA Aeropolis yang mana ia merangkumi keluasan 100 kilometer persegi, di Sepang.

"Pembangunan KLIA Aeropolis memfokuskan kepada pembangunan hartanah luar terminal serta melengkapkan operasi lapangan terbang MAHB yang sedia ada, manakala Taman Aerotech Subang, memfokuskan kepada pelaksanaan Inisiatif Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang.

"Pelaksanaan usaha itu adalah sejajar dengan matlamat serta aspirasi MAHB untuk merealisasikan agenda Industri 4.0," katanya pada pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MAHB dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Bhd (MIDA), di sini, hari ini.

Majlis itu ditandatangani bersama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk N Rajendran.

Raja Azmi berkata, Inisiatif Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang adalah inisiatif strategik oleh MAHB bagi menghidupkan semula ekosistem Lapangan Terbang Subang, di mana ia dijangka akan menjadi hab bagi penerbangan perniagaan dan ekosistem aeroangkasa yang lengkap.

"MAHB mengharapkan pembangunan yang dijalankan di dua lokasi strategik itu berjalan lancar dan mampu beroperasi sepenuhnya menjelang 2025.

Mengulas mengenai MoU berkenaan, beliau berkata, pihaknya optimis ia akan membantu ke arah meningkatkan jumlah FDI bagi industri aeroangkasa di Malaysia.

"Kita memiliki ramai peserta global utama dalam arena logistik dan terbabit dalam aktiviti penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang menyatakan minat mereka.

"Justeru, menerusi kerjasama ini, ia akan memberikan lebih keyakinan kepada pelabur bahawa kita sudah melaksanakan sesuatu yang kukuh," katanya.

Dengan kedudukan sebagai pemangkin pertumbuhan perniagaan, KLIA Aeropolis akan memberi tumpuan kepada aspek logistik dan kargo udara, aeroangkasa dan penerbangan, mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dan pelancongan.

Di bawah kluster kargo udara dan logistik, cabang lojistik MAHB dan Alibaba, Cainiao Network, akan membangunkan Hab eDagang dan Lojistik seluas 24.28 hektar di KLIA Aeropolis sebagai sebahagian daripada Inisiatif Zon Perdagangan Bebas Digital.

Hab eDagang dan Logistik dijangka akan melipat gandakan jumlah kargo udara KLIA kepada 1.3 juta tan setahun menjelang 2028 berbanding 700,000 tan setahun sekarang ini.

Berita Harian X