Isnin, 16 Julai 2018 | 3:19pm

Mahkamah Persekutuan benarkan Tealive beroperasi seperti biasa

KUALA LUMPUR: Loob Holding Sdn Bhd dibenarkan untuk meneruskan operasi perniagaan minuman Tealive selepas mendapat kebenaran mahkamah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo, berkata peguam syarikat memaklumkan Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonannya untuk menggantung perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 27 Jun lalu, pagi ini.

"Justeru, semua cawangan Tealive akan terus kekal beroperasi seperti biasa. Bagi pihak Tealive, kami mahu berterima kasih kepada semua orang yang terus menyokong dan mempercayai kami.

"Peguam kami akan terus mengendalikan kes ini sehingga diputuskan mahkamah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 6 Julai lalu Mahkamah Rayuan menolak permohonan Loob Holding untuk penggantungan sementara pelaksanaan perintah injunksi yang memihak kepada pemilik jenama Chatime, La Kaffa International Co Ltd pada 27 Jun lalu.

Permohonan Loob itu, yang difailkan sehari selepas keputusan perintah injunksi sementara oleh Mahkamah Rayuan, ditolak atas alasan syarikat itu melanggar kontrak dan tuntutan undang-undang terhadap La Kaffa, berkaitan dengan halangan dagangan serta undang-undang francais Malaysia.

Justeru, keputusan itu melarang Loob daripada mengendalikan Tealive sebagai perniagaan yang bersaing dengan Chatime untuk tempoh dua tahun di Malaysia.

Susulan daripada itu, Loob Holding mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan dikeluarkan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memihak kepada La Kaffa International Co Ltd.

Syarikat itu berkata, pihaknya mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonannya untuk penggantungan pelaksanaan perintah injunksi atas alasan melanggar kontrak dan tuntutan undang-undang terhadap La Kaffa berkaitan dengan halangan dagangan serta undang-undang francais Malaysia.

Berita Harian X