Isnin, 16 Julai 2018 | 6:22pm
KETUA Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan (kiri) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Affin Hwang Capital, Datuk Maimoonah Hussain di bangunan Bursa Malaysia Bhd, Kuala Lumpur, hari ini. Affin Hwang Investment Bank adalah bank pertama diluluskan Bursa Malaysia sebagai pembekal dan pengguna di bawah model Penjualan dan Pembelian Sekuriti Islam Transaksi Dirundingkan (ISSBNT).

Affin Hwang bank pertama pembekal ISSBNT

KUALA LUMPUR: Affin Hwang Investment Bank adalah bank pertama diluluskan Bursa Malaysia sebagai pembekal dan pengguna di bawah model Penjualan dan Pembelian Sekuriti Islam Transaksi Dirundingkan (ISSBNT).

ISSBNT yang dilancarkan Bursa Malaysia adalah instrumen hutang alternatif patuh syariah pertama di dunia bagi Pinjaman dan Memberi Pinjaman Sekuriti (SBL) konvensional.

Pengarah Urusan Kumpulan Affin Hwang Capital, Datuk Maimoonah Hussain, berkata menjadi pembekal dan pengguna pertama yang diluluskan Bursa Malaysia di bawah aktiviti urus niaga jual beli patuh syariah membuktikan komitmen Affin Hwang Investment Bank untuk menjadi peneraju dalam industri sekuriti di Malaysia.

"Ia sekali gus menunjukkan usaha kami untuk menyediakan perkhidmatan cemerlang kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan, berkata sumbangan dan komitmen Affin Hwang Investment Bank terhadap industri Pasaran Modal Islam sangat mengagumkan.

"Kami mengalu-alukan sokongan berterusan daripada peserta pasaran lain untuk terus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran pelaburan Islam yang berintegrasi di dunia.

"Sebagai pemangkin kepada pertumbuhan, Bursa Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi menggalakkan pelaburan syariah di kalangan pelabur domestik dan antarabangsa

Sebagai pembekal dan pengguna yang diluluskan Bursa Malaysia, Affin Hwang Investment Bank boleh menjalankan pembelian dan penjualan sekuriti patuh syariah bagi akaunnya sendiri serta menguruskan aktiviti pemilik ISSBNT, sebagai ejen (Wakalah).

Berita Harian X