Khamis, 19 Julai 2018 | 3:44pm

Maybank kekalkan jenama bank paling bernilai

KUALA LUMPUR: Maybank mengekalkan kedudukannya sebagai jenama bank terunggul di Malaysia menurut laporan "Brand Finance Banking 500 Brand Value Report 2018".

Nilai jenama Maybank meningkat sebanyak 24 peratus dengan mencatatkan peningkatan kepada AS$3.16 bilion (RM12.8 bilion) berbanding AS$2.54 bilion (RM10.3 bilion) pada tahun 2017.

Maybank juga mengekalkan penarafan AAA-, sekali gus menjadi jenama bank paling kukuh untuk empat tahun berturut-turut di Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata di rantau Asia Tenggara, Maybank muncul sebagai jenama bank kelima terbaik manakala di peringkat dunia pula, Maybank memperbaiki kedudukannya apabila melonjak dari kedudukan ke-90 kepada kedudukan ke-83 sebagai jenama bank paling bernilai.

Katanya, pencapaian ini menunjukkan usaha kolektif kakitangan Maybank dalam menyediakan pengalaman jenama yang konsisten untuk pelanggan di seluruh dunia.

"Misi Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan merupakan elemen penting yang telah mendorong ke arah kejayaan ini.

"Misi ini juga telah membolehkan kita untuk membina satu rangkaian pekerja terbaik yang bersemangat untuk terus mencipta pengalaman jenama unik untuk pelanggan kami di serata dunia," katanya di sini, hari ini.

Maybank merekodkan skor 82 /100 dari segi Index Kekuatan Jenama (BSI) pada tahun ini.

BSI menyumbang kepada penilaian dan menentukan kekuatan sesebuah jenama. Maybank berjaya mengekalkan skor BSI setanding dengan purata global ke-10 terbaik dan mendahului purata ASEAN dan Asia ke-10 terbaik.

Mengulas tentang kejayaan jenama Maybank, Pengarah Urusan Brand Finance Asia Pasifik, Samir Dixit berkata Maybank telah berkembang dengan pesat dalam tempoh lima tahun dan ini dilihat menerusi peningkatan nilai jenama secara organik yang telah berganda dalam masa tujuh tahun.

"Peratusan kukuh Nilai Jenama ke Permodalan Pasaran jelas menunjukkan Maybank telah berjaya dan mampu merekodkan nilai jenama yang lebih signifikan berbanding rakan-rakan pesaingnya," katanya.

Laporan kaji selidik tahunan Brand Finance menilai beberapa ribu jenama syarikat terbesar di dunia. Keputusan analisis ini seterusnya dibandingkan dengan 500 jenama bank paling bernilai di dunia yang disenaraikan di Brand Finance Banking 500.

INFO

*Brand Finance adalah sebuah syarikat penilaian jenama dan perundingan strategik.

Berita Harian X