Rabu, 25 Julai 2018 | 3:38pm

Untung suku kedua Westports susut

KUALA LUMPUR: Westports Holdings Bhd mencatat untung bersih lebih rendah berjumlah RM121.81 juta pada suku kewangan pertama berakhir 30 Jun 2018 berbanding RM148.82 juta suku sama tahun sebelumnya.

Pendapatan dalam suku dikaji susut kepada RM394.03 juta berbanding RM501.44 juta.

Dalam kenyataan difailkan di Bursa Malaysia hari ini, Westports berkata keuntungan lebih rendah itu disebabkan susut nilai lebih tinggi dan kos kewangan.

"Juga pada suku kedua 2017, kadar cukai pendapatan lebih rendah disebabkan tuntutan elaun cukai pelaburan," katanya.

Maju ke depan, Westports menjangka pengendalian kontena mencatat pertumbuhan sederhana satu angka pada 2018.

Dalam kenyataan berasingan, pengendali pelabuhan itu berkata operasi kontena mengendalikan 4.5 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

"Segmen intra-Asia menunjukkan momentum memberangsangkan dengan pertumbuhan 10 peratus, sekali gus meningkatkan sumbangan laluan perdagangan kepada jumlah kendalian Westports secara keseluruhan kepada 61 peratus.

"Bagi kargo konvensional, Westports mengendalikan 5.3 juta tan dengan kendalian lebih besar dalam segmen barangan berasingan," katanya.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Ruben Emir Gnanalingam, berkata siapnya terminal Kontena (CT) 8 dan CT9 pada 2017 meningkatkan keupayaan pengendalian kontena kepada 14 juta TEU setahun.

"Keupayaan tambahan itu ketika ini mengendalikan kapal lebih besar yang mengangkut lebih 20,000 TEU di Westports dan mengukuhkan lagi Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama sebagai pintu masuk dan hab pemindahan ke kapal di rantau ini," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X