Rabu, 25 Julai 2018 | 4:32pm

Untung bersih Westports susut 15.2 peratus

KUALA LUMPUR: Westports Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih 15.2 peratus lebih rendah kepada RM247 juta pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2018, berbanding RM289.71 juta pada separuh pertama tahun lalu.

Ia diraih daripada pendapatan berjumlah RM779 juta, turun 24 peratus berbanding RM1.02 bilion yang dicatat pada tempoh sama tahun lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Westports berkata, ia mengendalikan 4.5 juta unit kontena 20 kaki (TEU) pada separuh pertama tahun ini dan keuntungan itu diperoleh selepas kadar cukai berkanun korporat, caj susut nilai yang lebih tinggi dan kos kewangan berikutan penyempurnaan pengembangan terminal kontena CT8 dan CT9 pada 2017.

Sementara itu, kumpulan berkata, segmen Intra-Asia operasi kontena menunjukkan momentum menggalakkan dengan pertumbuhan 10 peratus, sekali gus menyumbang kepada peningkatan sumbangan laluan perdagangan kepada Westport secara keseluruhan kepada 61 peratus.

Bagi kargo konvensional, Westports mengendalikan 5.3 juta tan dengan jumlah tertinggi diredkodkan dalam segmen pukal.

Pengarah Urusan Kumpulan Westport, Datuk Ruben Emir Gnanalingam, berkata industri perkapalan kontena mengalami perubahan penyusunan semula pada tahun sebelumnya, terutamanya dengan pembentukan pakatan global baharu serta penggabungan dan pengambilalihan laluan penghantaran kontena.

"Perubahan ini menjejaskan jumlah penghantaran kami, tetapi Westports berjaya beralih kepada perkhidmatan baharu di bawah Ocean Alliance.

"Berdasarkan momentum keseluruhan jumlah kontena, kita berada di hadapan untuk membentuk satu kadar asas jumlah kontena, di mana kami dapat menetapkan tahap pertumbuhan masa depan," katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai pengembangan terminal kontena, Ruben berkata penyiapan CT8 dan CT9 pada 2017 meningkatkan kapasiti pengendalian kontena Westports kepada 14 juta TEU setahun.

"Kapasiti tambahan kini menampung kapal kontena terbesar lebih 20,000 TEU yang berlabuh di Westports dan terus mengukuhkan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama bagi pintu gerbang perdagangan negara dan menjadi antara pusat pusat pemindahan utama di rantau ini.

"Kami mengukuhkan peranan Westports dalam memudahkan Malaysia dan pembangunan ekonomi serantau serta keperluan perdagangan dengan mencadangkan pengembangan yang akhirnya akan menggandakan kapasiti pengendalian terminal semasa," katanya.

Berita Harian X