Khamis, 26 Julai 2018 | 12:12pm
MOHD Razali Hussain. - Foto Salhani Ibrahim

Laporan produktiviti ambil kira sumbangan buruh asing

KUALA LUMPUR: Bermula tahun ini, laporan produktiviti negara akan turut mengambil kira sumbangan produktiviti daripada tenaga buruh asing.

Ketua Pengarah Malaysia Productivity Corporation (MPC), Datuk Mohd Razali Hussain, berkata langkah yang pertama kali dibuat itu bertujuan mendapatkan gambaran mengenai produktiviti negara secara lebih menyeluruh.

Selain itu katanya, ia juga membolehkan perbandingan produktiviti di antara tenaga buruh tempatan dan asing dibuat.

"Pengukuran produktiviti untuk tenaga kerja asing ini akan dilakukan dalam sembilan sektor iaitu makanan dan minuman; elektrikal dan elektronik; kimia dan produk kimia; makanan agro; perkhidmatan profesional; pelancongan, ICT; mesin dan peralatan serta penjagaan kesihatan swasta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran buku Laporan Produktiviti 2017/2018 di sini, hari ini.

Majlis pelancaran berkenaan disempurnakan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Darell Leiking.

Hadir sama ialah Pengerusi MPC, Tan Sri Azman Hashim dan Ketua Setiausaha, Datuk Isham Ishak.

Terdahulu, Darell di dalam ucapannya, berkata Malaysia mencatat pertumbuhan produktiviti buruh positif sebanyak 3.8 peratus kepada RM81,268 untuk tahun 2017 berbanding RM78,294 pada tahun 2016.

Katanya, sektor perlombongan merekodkan pertumbuhan produktiviti tertinggi pada 6.8 peratus diikuti perkhidmatan (5.0 peratus); pengeluaran (4.3 peratus); pembinaan (2.4 peratus) dan agrikultur pada 1.4 peratus.

"Mengikut perbandingan dengan beberapa negara dalam Asia dari sudut produktiviti buruh setiap pekerja dalam dolar Amerika Syarikat (AS), Malaysia pada kadar AS$64,259, mendahului Thailand (AS$31,515); China (AS$30,099); Indonesia (AS$26,336); Filipina (AS$20,096) dan India (AS$17,164).

"Bagaimanapun, dari segi pertumbuhan produktiviti buruh, Malaysia masih ketinggalan dengan dua ekonomi sedang pesat membangun iaitu China pada 7.1 peratus dan India (4.3 peratus)," katanya.

Mengulas lanjut Darell berkata, untuk tahun 2018, produktiviti buruh negara dijangka untuk berkembang di antara 3.0 hingga 4.0 peratus, mengambil manfaat daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang positif di antara 5.5-6.0 peratus pada tahun ini.

Berita Harian X