Khamis, 26 Julai 2018 | 7:21pm
MASNIZAM Hisham.- Foto NSTP

Masnizam masih kekal Presiden, CEO Prasarana

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) menolak dakwaan tempoh perkhidmatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Masnizam Hisham akan ditamatkan pada masa terdekat atau meletakkan jawatan.

Prasarana dalam kenyataannya berkata, Lembaga Pengarah menolak dakwaan berkenaan dan menzahirkan keyakinan mereka terhadap keupayaan serta kepimpinan Masnizam dalam menguruskan Prasarana.

"Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sejak beliau (Masnizam) memegang tampuk pengurusan pada 18 Januari 2018.

"Beliau sentiasa gigih dalam kerjanya dan memulakan beberapa langkah inovatif selaras dengan program penjimatan kos serta penambahan hasil di bawah satu inisiatif baharu dikenali 'Mencipta Prasarana 2.0'," katanya.

Pengendali pengangkutan awam negara itu berkata, Masnizam mempamerkan kecemerlangan dalam tugasannya, yang dilaksanakan dengan penuh integriti, profesionalisme dan kegigihan.

"Lembaga pengarah menyatakan rasa kesal dengan laporan media yang mana disifatkan berniat tidak baik dan tidak wajar, khususnya tanpa menamakan sumber yang sahih dan juga ketika Prasarana sedang mengambil pelbagai inisiatif transformasi demi kepentingan syarikat khususnya untuk pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3)," katanya.

Masnizam menyertai Prasarana sebagai Ketua Jabatan Perundangan pada 2004 dan seterusnya dinaikkan pangkat secara merit kepada Ketua Jabatan Perolehan Kumpulan, Ketua Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik; Pengarah Divisyen Perkhidmatan Infrastruktur; dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management and Engineering Services (PRIME).

Menerusi kenyataan itu, Prasarana juga memaklumkan, pengurusan kanan Prasarana pada Jumaat lalu telah mengemukakan kepada pihak Lembaga Pengarah satu laporan terperinci mengenai projek LRT3; yang sudah diserahkan kepada Menteri Kewangan untuk memberikan perspektif penuh projek berkenaan.

Dalam surat kepada Menteri Kewangan, Prasarana menegaskan bahawa ia akur dengan sebarang keputusan kementerian dalam menyiapkan projek berkenaan demi kepentingan rakyat dan meningkatkan tahap perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang.

Selain itu, selepas mengambil alih sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, ahli lembaga telah meminta Masnizam untuk membuat laporan kepada Ketua Pegawai Integriti Kumpulan, iaitu pegawai yang dipinjamkan daripada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (MACC) untuk menyiasat sebarang anomali (penyimpangan daripada peraturan) dalam prosedur perolehan untuk projek berkenaan.

Berita Harian X