Jumaat, 27 Julai 2018 | 3:07pm

Alibaba Cloud terus labur di Malaysia

KUALA LUMPUR: Alibaba Cloud, bahagian pengkomputeran awan Alibaba Group melancarkan 'availability zone' kedua, iaitu Zon B di negara ini dalam usaha meluaskan penggunaan dan mempertingkatkan keupayaan pengkomputeran awan bagi memenuhi peningkatan pelanggan dalam dan luar negara.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Alibaba Cloud, berkata zon baharu itu membantu zon sedia ada dalam mempertingkatkan keselamatan pengkomputeran awan dan menjamin kelestarian perniagaan di dalam infrastruktur pegkomputeran awan dengan lebih kukuh.

Sehubungan itu, Alibaba Cloud berkata, pihaknya akan terus melabur di Malaysia dengan menubuhkan 'cloud based Anti-DDoS scrubbing center' yang pertama pada Ogos ini.

"Pusat ini akan mengurangkan risiko dan menawarkan pelanggan tahap perlindungan tertinggi daripada serangan DDoS.

"Pusat baharu ini mempunyai pelbagai ciri-ciri keselamatan seperti Anti-DDoS Pro, perkhidmatan yang boleh menghalang daripada setiap jenis serangan DDoS," menurut kenyataan itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata peralihan hala tuju dunia ke arah e-dagang semakin hampir dan permintaan industri tempatan semakin meningkat untuk mengambil bahagian dalam ekonomi baru ini pada peringkat global.

"Malaysia kini terus maju dengan usaha untuk mengukuhkan infrastrukturnya bagi tujuan akses kepada Internet sebagai hak asasi manusia, begitu juga mengkategorikan kemudahan bagi meningkatkan akses jalur lebar sebagai utiliti awam.

"Kejayaan perdagangan kami pada platform global bersama sokongan syarikat seperti Alibaba Cloud bergantung kepada persekitaran Internet berkelajuan tinggi. Teknologi pendahuluan yang diberikan oleh Alibaba Cloud membuka peluang baru, yang saya percaya akan memberi manfaat kepada Malaysia dalam usahanya untuk meningkatkan persaingan dan kecekapan dalam industri baru ini," katanya dalam kenyataan bersama.

Disamping memastikan kebingkasan dan standard operasi yang berkualiti tinggi, Alibaba Cloud berkata, Zon B menawarkan modul keselamatan pembayaran (HSM), pengkomputeran elastik, pangkalan data serta perkhidmatan memantau dan rangkaian.

Sementara itu, Pengurus Besar Alibaba Cloud di Malaysia, Kenny Tan, berkata pihaknya untuk membawa produk dan perkhidmatan 'cloud' yang elastik, efisien dan selamat bagi pengguna Malaysia.

"Pelancaran 'available zone' B dan 'Anti-DDoS scrubbing center' membolehkan kami menawarkan pilihan yang lebih selamat kepada pengguna. Pada masa sama, pelancaran ini akan membolehkan perkongsian pengetahuan dalam kalangan usahawan dan bakat tempatan untuk menggunakan teknologi Alibaba Cloud bagi mencapai infrastruktur yang lebih selamat," katanya.

Awal tahun ini, Alibaba Cloud mengumumkan kerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di Malaysia City Brain Initiative bagi mendirikan bandar pintar yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) dan Big Data.

Berita Harian X