Khamis, 2 Ogos 2018 | 12:39pm

AirAsia 'terbang' ke Danau Toba

JAKARTA: AirAsia melancarkan penerbangan empat kali seminggu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) ke Lapangan Terbang Silangit di Tapanuli, Sumatera Utara, Indonesia, bermula 28 Oktober ini.

Lapangan Terbang Silangit adalah pintu utama ke Danau Toba yang indah, tasik gunung berapi terbesar di ASEAN dan salah satu tasik tercantik di dunia.

Destinasi baharu itu telah diumumkan pada sidang akhbar di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes, berkata sebagai syarikat penerbangan ASEAN, AirAsia berusaha untuk menghubungkan lebih ramai tetamu ke pelbagai destinasi di rantau ini.

Katanya, perkhidmatan baharu dari Kuala Lumpur ke Silangit adalah sebahagian daripada komitmen untuk menyokong kerajaan Indonesia dalam membangunkan 10 destinasi pelancongan utama, termasuklah Danau Toba.

"Kami bukan hanya menghubungkan tetamu ke khazanah tersembunyi Indonesia, malah juga melabur untuk membangunkan sektor pelancongan yang lestari.

"Kakitangan kami akan bekerja dengan lebih dekat bersama pihak berkuasa tempatan dan komuniti untuk memelihara keindahan alam Danau Toba melalui inisiatif hijau. Ini komitmen kami untuk membawa tetamu mendekati tempat pelancongan terbaik di Indonesia sambil memastikan kelestarian destinasi berkenaan," katanya.

AirAsia kini menawarkan tambang pengenalan istimewa untuk laluan dari Kuala Lumpur ke Silangit bermula daripada RM39.10.

Tambang ini tersedia untuk tempahan di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia bermula hari ini hingga 12 Ogos 2018 untuk tempoh perjalanan dari 28 Oktober 2018 hingga 29 Mac 2019.

Ahli BIG pula dapat menikmati yuran pemprosesan sifar apabila mereka membuat pembayaran menggunakan kad BigPay.

Selain itu, ahli BIG juga boleh menebus penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Silangit dengan hanya 10 Mata Ganjaran BIG (tambang asas saja).

Berita Harian X