Selasa, 7 Ogos 2018 | 1:10pm
SYARIKAT pemula niaga Malaysia, Klean kini aktif mencari dana bagi membolehkannya menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) lebih lanjut serta melancarkan mesin pintarnya ke Malaysia. - Foto ihsan Eric Bailey

Klean aktif cari dana pacu R&D

SINGAPURA: Syarikat pemula niaga Malaysia, Klean kini aktif mencari dana bagi membolehkannya menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) lebih lanjut serta melancarkan mesin pintarnya ke Malaysia, Singapura dan rantau ASEAN lainnya.

Pada masa ini, syarikat itu berusaha mendapatkan pembiayaan berjumlah AS$5 juta (AS$1=RM4.04).

Klean baru-baru ini terbabit bersama Krungsri RISE, syarikat pemacu berpejabat di Thailand yang juga hasil kerjasama antara Krungsri Bank (Bank of Ayudhya) iaitu bank kelima terbesar di Thailand dan RISE yang juga pakar dalam pemula niaga.

Projek itu bermatlamat meningkatkan ekonomi negara itu dengan membawa syarikat pemula niaga ke Thailand dan membantu mereka merealisasikan idea dan inovasi mereka menerusi latihan serta bekerjasama dengan agensi korporat dan kerajaan.

Krungsri juga dalam usaha mengenal pasti syarikat pemula niaga yang dapat meningkatkan perniagaan manakala RISE pula merancang untuk memacu inovasi di Thailand.

Krungsri RISE bagaimanapun tidak memegang sebarang kepentingan ekuiti dalam syarikat pemula niaga itu kerana matlamat utamanya adalah membolehkan akses syarikat pemula niaga itu di pasaran Thailand.

Pengasas Bersama Klean, Datuk Mohamad Arif Abdullah, berkata ASEAN misalnya, memerlukan skim deposit khas untuk bekas (seperti botol polyethylene terephthalate (PET) kosong dan tin aluminium) bagi menangani masalah pencemaran plastik yang dihadapi.

Skim deposit itu antara lainnya merujuk kepada deposit yang disertai dengan setiap pembelian dan jika botol atau tin itu diserahkan kepada mesin layan diri pintar, wang itu akan dikembalikan kepada pembeli.

“Hakikat bahawa negara dalam kalangan ASEAN adalah antara pencemar utama plastik di dunia, sudah cukup untuk membuktikan bahawa usaha yang dijalankan sekarang masih belum berkesan,” katanya kepada BERNAMA, di sini.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata Klean memiliki penyelesaian masalah itu.

“Atas alasan ni, kami sentiasa berusaha mencari dana agar dapat membesarkan lagi perniagaan ini,” katanya.

Jun lalu, Klean memenangi edisi pertama [email protected] ASEAN di Singapura dan menjadi antara enam finalis akhir bagi Cabaran ‘The Liveability’ Temasek.

Ekosistem Klean menggunakan mesin layan diri pintar berbalik (SVRM) buatan Malaysia yang serba unik dengan sistem operasi Klean serta aplikasi dan ‘dompet’ yang memberi ganjaran kepada golongan yang terbukti mengitar semula botol PET kosong dan tin aluminium.

Ini menerusi pemberian skim mata inovatif yang dapat ditebus untuk ganjaran seperti masa prabayar dan diskaun untuk pengangkutan, barangan dan perkhidmatan.

Antara pencapaian terbesar syarikat itu setakat ini ialah menjalin kerjasama dengan HelloGold bagi menangani kemiskinan.

Tindakan mengembalikan semula botol dan tin aluminium itu (bagi tujuan kitar semula), pengguna dapat mewujudkan portfolio ‘emas’ dan membolehkan penduduk kurang berkemampuan melakukan penjimatan.

Mereka kemudiannya boleh menggunakan portfolio itu sebagai kolateral untuk mendapatkan pinjaman, memulakan perniagaan dan menambah simpanan.

“Usaha mendidik orang ramai berhubung kepentingan kitar semula saja masih belum mencukupi. Orang ramai perlukan insentif untuk memastikan sikap itu dapat diubah. Sistem ganjaran Klean adalah jawapannya,” kata Pengasas Bersama Klean, Datuk Dr Nick Boden.

Di Singapura, Klean menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat minuman terkemuka bagi memulakan konsep skim deposit itu di republik berkenaan pada akhir tahun ini. - BERNAMA

Berita Harian X