X
Selasa, 7 Ogos 2018 | 6:15pm

Malindo 'terbang' ke Danau Toba

KUALA LUMPUR: Malindo Air akan memulakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Subang Skypark ke Lapangan Terbang Antarabangsa Silangit iaitu bagi destinasi ke Danau Toba pada 17 Ogos ini dengan harga promosi sehala RM189.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy, berkata tempahan boleh dilakukan di laman webnya, pejabat tiket, pusat khidmat pelanggan dan ejen pelancongan terpilih.

Beliau berkata, penerbangan yang mengambil masa selama sejam 30 minit itu akan menggunakan pesawat OD360 dari Subang ke Siborong-borong yang dijadualkan akan berlepas pada 1.45 tengah hari dan dijangka tiba pada 2.15 petang waktu tempatan.

Bagi perjalanan dari Siborong-borong ke Subang pula, katanya, akan berlepas dengan pesawat OD361 yang berlepas pada 2.50 petang waktu tempatan dan akan tiba pada 5.15 petang.

“Penerbangan bagi laluan ini menggunakan pesawat ATR72-600 yang mampu menampung sehingga 72 penumpang.

“Kami begitu teruja untuk memperkenalkan bandar ketiga yang terbang dari Subang ke Indonesia selepas Batam dan Pekan Baru yang menandakan usaha berterusan dalam mengembangkan rangkaian ke Sumatera Utara.

“Ia juga adalah hasil kerjasama bersama Lembaga Pelancongan Indonesia dalam memperomosikan destinasi pelancongan eko,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Chandran berkata pelepasan dari Subang Skypark secara terus ke destinasi terletaknya Danau Toba adalah kelebihan utama yang mana penumpang dapat menikmati akses yang mudah dan selesa di lapangan terbang.

“Elaun bagasi 15 kilogram juga menjadi pelengkap kepada perjalanan ini dan memberi tambah nilai kepada penumpang dari segi keberkesanan kos,” katanya.

Siborong-borong adalah gerbang utama untuk ke Danau Toba, tasik terbesar di Indonesia dan juga tasik gunung berapi terbesar di dunia.

Pelancong boleh mengalami sendiri keunikan serta keindahan alam semula jadi kerana tasik itu turut dikelilingi gunung, kolam air panas dan air terjun yang mempersonakan.

Berita Harian X