Selasa, 7 Ogos 2018 | 9:56pm

Saudi Aramco, PETRONAS tinjau pinjaman berskala besar

DUBAI/HONG KONG: Saudi Aramco dan PETRONAS mengadakan pertemuan dengan bank bagi menggantikan pinjaman jangka pendek AS$8 bilion yang dijana awal tahun ini dengan pembiayaan jangka panjang dengan anggaran jumlah yang sama, kata sumber.

Kedua-dua syarikat minyak dan gas itu meminjam AS$8 bilion daripada konsortium bank mega global pada Mac bagi projek usaha sama penapisan dan petrokimia di Johor.

Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) adalah kompleks minyak dan gas bernilai AS$27 bilion terletak antara Selat Melaka dan Laut China Selatan, untuk menyalurkan minyak dan gas Asia Barat ke China, Jepun, dan Korea Selatan.

Kedua-dua firma itu mengeluarkan permintaan cadangan kepada bank pada bulan lalu dan kini dalam perbincangan awal bagi pinjaman diatur sendiri dengan kematangan lebih 10 tahun yang akan menggantikan pinjaman jangka pendek sedia ada, kata sumber itu. Aramco enggan mengulas mengenai perkara itu.

PETRONAS tidak memberi respons segera terhadap permintaan untuk mengulas perkara itu.

Sekumpulan 19 bank menyertai pinjaman jangka pendek itu, termasuk peminjam Asia dan BNP Paribas, HSBC, JPMorgan, Standard Chartered, Citibank, First Abu Dhabi Bank dan ING Bank.

Pinjaman itu, yang bertempoh 364 hari dan opsyen lanjutan enam bulan, menawarkan marjin kadar faedah kira-kira 40 mata asas ke atas kadar tawaran antara bank London (Libor), Thomson Reuters 'LPC melaporkan pada Mac.

Aramco dan PETRONAS memuktamadkan urus niaga untuk melabur dalam projek itu pada Mac yang mengatakan pada masa itu Aramco akan membekalkan 50 peratus minyak mentah dengan pilihan untuk meningkatkannya kepada 70 peratus.

Operasi penapisan dijangka bermula pada 2019, dengan diikuti operasi petrokimia enam hingga 12 bulan selepas itu.

Aramco bercadang untuk meningkatkan pelaburan dalam penapisan dan petrokimia bagi mendapatkan pasaran baharu dan melihat pertumbuhan bahan kimia sebagai pusat strategi hiliran untuk mengurangkan risiko kelembapan permintaan minyak.

Aramco juga dijangka berjumpa bank bagi pembiayaan besar yang akan mendapatkan semula potensi pengambilalihan saham kawalan dalam pengeluar petrokimia SABIC, kata sumber perbankan.

Aramco mungkin boleh mengambil alih keseluruhan pegangan 70 peratus yang dimiliki oleh dana kekayaan kedaulatan Arab Saudi di SABIC, kata sumber kepada Reuters bulan lalu.

Bank akan menimbang beberapa pilihan bagi urus niaga berpotensi, yang boleh mencapai sehingga AS$70 bilion, tetapi belum ada permintaan rasmi dari Aramco, kata beberapa sumber.

Aramco, yang mengeluarkan 10 juta tong minyak mentah sehari merancang untuk meningkatkan kapasiti penapisannya antara lapan juta hingga 10 juta tong sehari, dari sekitar lima juta tong ketika ini, dan menggandakan pengeluaran petrokimia menjelang 2030.

- Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X