Isnin, 13 Ogos 2018 | 2:31pm

Caj perkhidmatan penumpang MAHB masih yang terendah

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mempertahankan bahawa caj perkhidmatan penumpang (PSC), pendaratan dan parkirnya adalah yang terendah dalam kalangan lapangan terbang bersaiz sama.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, dalam kaji selidik kawal selia tahunan oleh firma perunding global LeighFisher, didapati bahawa caj Malaysia hanyalah satu pertiga daripada purata global bagi pendapatan aeronautik bagi setiap pergerakan pesawat, selain pendapatan aeronautik bagi setiap penumpang.

“Kajian juga menunjukkan bahawa ia yang terendah dalam kalangan 50 kumpulan syarikat pengendali lapangan terbang yang ditanda aras dalam kaji selidik itu,” katanya dalam satu kenyataan menjawab laporan sebuah akhbar tempatan yang diterbitkan Jumaat lalu.

MAHB juga menegaskan bahawa laporan itu yang membandingkan ranking Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam Skytrax berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, yang merujuk bahawa lapangan terbang Singapura itu mengekalkan kedudukan teratas sejak 2013, bukanlah “perbandingan setara”.

Jelasnya, orang ramai akan mendapati bahawa Changi menggunakan prinsip tiada diskriminasi caj lapangan terbang Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), iaitu caj lapangan terbang sama kepada semua syarikat penerbangan.

Ia menambah, caj dikenakan Changi adalah lebih tinggi dan pelbagai berbanding KLIA kerana memasukkan item tambahan seperti levi lapangan terbang dan yuran pembangunan lapangan terbang yang digunakan untuk membayar kos pembangunan lapangan terbangnya, selain PSC sendiri.

“Di sebalik persekitaran operasi seragam bagi syarikat penerbangan penuh dan syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) di Changi, jumlah trafik antarabangsa LCC di sana mengatasi KLIA. Perkara sama juga berlaku bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Bangkokk.

“Ini memberikan sebab yang kukuh bagi sesebuah lapangan terbang yang berjaya membenarkan syarikat-syarikat penerbangan bersaing di atas kekuatan sendiri di bawah persekitaran yang seragam, tanpa kehilangan nilai ekonomi bagi negara masing-masing,” katanya.

MAHB berkata, adalah perlu diingatkan bahawa 70 peratus trafik penumpang antarabangsa di Malaysia terdiri daripada penumpang luar negara yang menikmati PSC lebih rendah ditawarkan bagi perjalanan ke negara ini.

“Sebaliknya, rakyat Malaysia dan warga negara lain yang pergi atau datang dari negara lain membayar PSC lebih tinggi di lapangan terbang luar negara, yang telah menyumbang kepada pembangunan dan penambahbaikan lapangan terbang sedemikian termasuk Changi,” katanya.

Sementara itu, MAHB berkata lebih 75 peratus rangkaian 39 lapangan terbangnya di negara ini adalah tidak berdaya maju dari segi komersial.

Katanya, ia terdiri daripada lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 lapangan terbang mendarat dan berlepas pendek (STOL)

“Lapangan terbang terbabit diuruskan menggunakan model subsidi bersilang bagi memberikan hubungan yang diperlukan oleh rakyat negara ini di bandar-bandar kecil dan kawasan pedalaman.

“Menyelenggara rangkaian lapangan terbang ini membabitkan perbelanjaan modal dan operasi yang besar,” katanya.

Berita Harian X