Selasa, 14 Ogos 2018 | 9:55pm

Tan Chong Motor kembali catat untung suku kedua

KUALA LUMPUR: Tan Chong Motor Holdings Bhd kembali mencatat keuntungan pada suku kedua berakhir 30 Jun 2018, dengan keuntungan bersih sebanyak RM9.9 juta berbanding kerugian sebanyak RM26 juta pada suku tahun sama sebelum ini.

Perolehan susut kepada RM1.08 bilion berbanding RM1.19 bilion dicatatkan pada suku sama pada 2017.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata, ia mencatatkan jumlah kenderaan yang dijual lebih tinggi dan peningkatan margin dengan campuran jualan yang menggalakkan.

Mengenai prospek tahun semasa, Tan Chong berkata, sektor automotif domestik dijangka terus mencabar dalam pasaran yang amat kompetitif dengan ketidaktentuan berikutan perubahan dalam undang-undang percukaian berkaitan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Kumpulan itu telah melancarkan model baharu yang dipasang dalam negara seperti Nissan Serena S-Hybrid serba baharu dan Nissan Urvan NV350 untuk meningkatkan daya saingnya dalam pasaran domestik.

Bagi operasi di luar negara, kumpulan itu akan meneruskan strategi pengembangan perniagaannya bagi jualan dan rangkaian selepas jualan ke Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

Sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mengukuhkan kedudukannya dalam sektor automotif serantau, ia akan turut memperluaskan kepada sektor kenderaan komersial dengan kilang kenderaan komersial di Vietnam.

– BERNAMA

Berita Harian X