Khamis, 16 Ogos 2018 | 3:57pm
DR Sudin (dua dari kiri) bersama Noor Azam (dua dari kanan) menyaksikan permeteraian MoU diantara AmMetLife Takaful dengan YWM, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Pelan Protect-i Budi AmMetLife Takaful sedia manfaat wakaf

KUALA LUMPUR: AmMetLife Takaful Bhd memperkenalkan produk takaful terbaharu, Protect-i Budi dan menyasarkan 1,000 pelanggan dalam tempoh enam hingga 12 bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Azam Mohd Yusof, berkata pelan menawarkan manfaat khairat kematian dan perlindungan berganda sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya menyeluruh ketika menunaikan haji dan umrah.

Katanya, sebagai tambahan kepada pelan asas, Protect-i Budi turut menawarkan manfaat wakaf yang menyediakan pembayaran sekali gus apabila berlaku perkara yang tidak diingini.

“Jumlah wakaf yang akan diperuntukkan AmMetLife Takaful minimum RM10,000 menerusi Protect-i Budi dan nilai itu antara yang tertinggi buat masa ini di pasaran.

“Apabila pemegang pelan bersetuju, wang peruntukan wakaf terbabit akan disalurkan kepada Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dalam bentuk wakaf tunai dan diuruskan sepenuhnya oleh YWM bagi aktiviti kebajikan.

“Justeru, penting bagi kami menghasilkan pelan takaful yang holistik dengan mengambil kira keperluan umat Islam yang bukan saja memberi manfaat kepada orang tersayang, malah juga di akhirat,” katanya pada sidang media di majlis memorandum persefahaman (MoU) bersama YWM di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Datuk Prof Dr Sudin Haron, berkata instrumen wakaf boleh dijadikan sebagai salah satu aktiviti dalam pembangunan ekonomi umat Islam.

Beliau berkata, trend wakaf tunai semakin popular di kalangan masyarakat, yang mana kaedah ini lebih praktikal dan mesra pengguna.

“YWM bekerjasama dengan semua agensi dan jabatan agama seluruh negeri bagi meningkatkan jumlah wakaf tunai kami.

“Seterusnya, wakaf tunai yang terkumpul akan dikembangkan lagi dengan membeli aset tetap seperti hartanah dan terbaharu, kami telah membeli tiga unit rumah kedai yang mana hasil kutipan sewa itu digunakan untuk bantuan kebajikan,” katanya.

Berita Harian X