Isnin, 20 Ogos 2018 | 2:10pm
DATUK Seri Dr Nik Norzrul Thani. - Foto Aziah Azmee

Segmen aeroangkasa dijangka tingkat pendapatan T7 Global

KUALA LUMPUR: T7 Global Bhd (T7 Global) menyasar meningkatkan prestasi kewangannya beberapa tahun akan datang disokong oleh segmen aeroangkasa.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan, berkata kumpulan kini memfokuskan kepada kepelbagaian aliran pendapatan baharu yang menyediakan pendapatan berulang, selain terus berusaha menambah buku tempahan.

Nik Norzrul berkata, ia akan turut disokong apabila kilang rawatan logam khusus untuk industri aeroangkasanya mula beroperasi awal tahun hadapan.

“Ketika ini perniagaan teras kumpulan adalah di dalam segmen gas dan minyak (O&G) yang mewakili 80 peratus pendapatan keseluruhan kumpulan selain aeroangkasa, pembinaan dan infrastruktur.

“Tetapi kumpulan optimis segmen baharu kami iaitu aeroangkasa akan menjadi penyumbang utama dalam beberapa tahun akan datang apabila kilang pertama aeroangkasa dengan kerjasama KOV Ltd, syarikat aeroangkasa berpangkalan di United Kingdom mula beroperasi.

“Kumpulan yakin akan memperoleh beberapa kontrak berkaitan aeroangkasa dan kebiasaannya kontrak untuk segmen ini dalam tempoh masa yang panjang antara 30 hingga 40 tahun.

“Ketika ini juga melalui rakan kerjasama kami, sudah ada beberapa kontrak yang berpotensi. Ia akan memberikan lebih nilai kepada prestasi keseluruhan kumpulan,” katanya selepas Mesyuarat Agung Luar Biasanya di sini hari ini.

Kilang aeroangkasanya itu adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dibangunkan di tapak seluas 0.8 hektar di Taman Perkilangan Bernilai Tinggi UMW di Serendah, Selangor.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Tan Kean Soon, berkata walaupun kumpulan masih baru dalam segmen aeroangkasa tetapi permintaan tinggi bagi segmen itu dalam pasaran bakal membawa kejayaan kepada T7 Global.

Selain itu katanya, kumpulan yakin segmen O&G akan terus berkembang seiring dengan prestasi positif pasaran minyak mentah dunia.

“Pasaran O&G dijangka akan terus mengukuh tahun hadapan dan kumpula yakin dapat menambah buku tempahan kami bagi O&G.

“Malah Petronas juga aktif dalam menawarkan beberapa projek yang berpotensi untuk kumpulan perolehi,” katanya.

Ketika ditanya mengenai rundingan semula harga projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Tan berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh mengenai projek itu daripada kerajaan.

Pada Mac lalu, T7 Global menandatangani memorandum persefahaman (MoU) baharu dengan syarikat milik kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) dan CMC Engineering Sdn Bhd, bagi membentuk konsortium untuk melaksana pembinaan bahagiannya dalam projek ECRL.

“Kami berharap kumpulan dapat lebih pembabitan dengan kerajaan mengenai projek ECRL. Ketika ini ia tidak membabitkan sebarang kerugian terhadap pihak kami kerana ia masih di peringkat awal.

“Namun kumpulan akan kembali meneliti jika terdapat perubahan kos projek secara keseluruhan dan nilai kontrak,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jun lalu berkata kerajaan akan meneruskan ECRL jika memperoleh terma yang lebih baik menerusi rundingan semula itu dan jika kos projek dikurangkan.

Berita Harian X