Selasa, 21 Ogos 2018 | 3:26pm
KETUA Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Wong Kim Choong (kanan) menandatangani perjanjian dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) di Kuala Lumpur. Turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
KETUA Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Wong Kim Choong (kanan) menandatangani perjanjian dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) di Kuala Lumpur. Turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

UOB, SJPP tawar pembiayaan PKS

KUALA LUMPUR: United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) menandatangani perjanjian dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) untuk menawarkan pembiayaan terjamin kerajaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

SJPP adalah pentadbir dan pengurus skim jaminan kredit di bawah Kementerian Kewangan dan dalam perjanjian berkenaan, PKS berpeluang mendapat pinjaman bebas cagaran sehingga RM1 juta melalui penyelesaian kewangan SJPP-UOB BizMoney.

Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Wong Kim Choong, berkata jumlah itu adalah dua kali ganda jumlah yang disediakan kepada pelanggan sedia ada di bawah pakej UOB BizMoney yang mana SJPP akan menjamin sehingga 70 peratus daripada pinjaman melalui Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan.

Katanya, kerjasama dengan SJPP akan membantu PKS mendapat akses kepada pembiayaan tambahan bagi memanfaatkan lebih banyak peluang perniagaan dan juga memenuhi keperluan modal kerja mereka.

"Pengalaman selama enam dekad dalam menyediakan perkhidmatan kepada PKS bermakna kami mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai peluang dan cabaran yang mereka hadapi.

"Menurut penyelidikan kami, lebih separuh daripada PKS di negara ini menjangka akan meningkatkan pendapatan pada 2018, meskipun sebahagian besar daripadanya ingin berkembang ke luar negara.

"Malah, kebanyakan daripada mereka juga merancang untuk melabur dalam infrastruktur teknologi yang dapat membantu mendorong prestasi perniagaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Penyelesaian kewangan SJPP-UOB BizMoney menyediakan tempoh pembayaran balik yang fleksibel, iaitu selama 18, 24, 36, 48 atau 60 bulan, dengan kadar faedah yang bermula dari 0.54 peratus sebulan.

Kim Choong berkata, pihaknya membantu PKS meningkatkan produktiviti supaya mencapai pertumbuhan dalam perniagaan mereka menerusi penyelesaian digital berskala, seperti UOB SmartBusiness.

"Kami membantu menyelaras dan mengautomasikan sistem dan proses pentadbiran mereka dan turut menawarkan penyelesaian pembiayaan berjangka yang luas kepada PKS bagi memenuhi keperluan modal kerja atau memperoleh aset tetap," katanya.

Sementara itu, Pegawai Utama SJPP, Dr Nungsari Ahmad Radhi, berkata kerajaan komited untuk menyediakan sokongan berterusan kepada PKS melalui pelbagai inisiatif, produk dan perkhidmatan.

Katanya, ia termasuklah pelbagai skim terjamin kerajaan yang diuruskan oleh SJPP yang memberi manfaat kepada lebih daripada 13,000 perusahaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X