Khamis, 30 Ogos 2018 | 10:45am
PRESIDEN & Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Bhd, Badrul Feisal Abdul Rahim. - Foto Roslin Mat Tahir

Keuntungan suku kedua UMW meningkat

KUALA LUMPUR: Segmen perniagaan automotif, jentera dan pembuatan & kejuruteraan (M&E) UMW Holdings Bhd merekodkan perolehan lebih tinggi pada suku kedua 2018 berikutan peningkatan permintaan pengguna yang berpunca daripada tempoh cuti cukai di Malaysia.

Segmen automotif dan jentera masing-masing mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi sebanyak 43.9 peratus dan 17.4 peratus.

Perniagaan baharu UMW iaitu aeroangkasa telah mula menjana pendapatan, menyumbang kepada peningkatan pendapatan sebanyak 15.9 peratus untuk segmen M&E.

Dengan itu, segmen ini mencatatkan kerugian sebelum cukai yang jauh lebih rendah berbanding pada suku yang sama sebelumnya.

Kerugian itu telah dijangka kerana perniagaan aeroangkasa masih dalam tempoh pertumbuhan.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Bhd, Badrul Feisal Abdul Rahim, berkata berikutan keputusan strategik pada 2017 untuk fokus semula usaha mengukuhkan tiga perniagaan teras, kumpulan terus mencatatkan keputusan yang lebih baik.

“Secara keseluruhannya, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM124.4 juta bagi suku kedua 2018, berbanding kerugian sebanyak RM209.3 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun 2017.

“Ia juga jauh lebih tinggi daripada RM74.1 juta yang dicatatkan pada suku pertama tahun 2018, mewakili pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 67.9 peratus.

“Kumpulan kini melalui proses pemulihan dan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk melaksanakan strategi pertumbuhan jangka panjang dan meningkatkan nilai pemegang saham,” katanya.

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2018, kumpulan mencatatkan perolehan sebanyak RM2.919 bilion daripada operasi berterusan, peningkatan sebanyak RM161.6 juta atau 5.9 peratus berbanding RM2.757 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun 2017.

Dalam suku dikaji, kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM301.3 juta daripada operasi berterusan, lebih tinggi berbanding RM48.3 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Berita Harian X