Khamis, 30 Ogos 2018 | 3:04pm

RHB Bank catat untung bersih RM1.16 bilion

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd (RHB Bank) mencatatkan keuntungan bersih RM1.16 bilion pada separuh pertama 2018, melonjak 16 peratus daripada RM1.001 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Keuntungan lebih tinggi itu disokong perolehan lebih kukuh berjumlah RM3.385 bilion yang diraih bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, meningkat lapan peratus daripada RM3.13 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata prestasi positif itu dipacu asas dana bersih dan pendapatan berasaskan bukan dana lebih tinggi.

"Pendapatan berasaskan dana bersih menokok 10.8 peratus kepada RM2.48 bilion disebabkan pertumbuhan mampan dalam pinjaman dan pengurusan kos dana yang berhemah.

"Pendapatan berasaskan bukan dana naik 1.3 peratus kepada RM904.2 juta disumbangkan peningkatan pertukaran asing bersih dan pendapatan dagangan serta pelaburan lebih tinggi," katanya pada taklimat media prestasi separuh pertama RHB Bank di sini, hari ini.

Bagi tempoh suku kedua, RHB Bank meraih keuntungan bersih RM570.3 juta, meningkat 13.8 peratus, berbanding RM501 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.

Keuntungan bersih bagi suku dikaji bagaimanapun susut tiga peratus berbanding RM591 juta yang diraih pada suku pertama 2018.

Berita Harian X