Selasa, 18 September 2018 | 5:40pm
KETUA Pegawai Eksekutif Yum Brands Inc, Greg Creed (lima dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Lee Tian Hock (dua dari kiri), Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil (empat dari kanan) dan Pengurus Besar KFC Asia, Valerie Kubizniak (lima dari kanan) pada Majlis Pembukaan Cawangan ke-700 KFC di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Cawangan KFC ke-700 di Bandar Sri Sendayan

[email protected]

SEREMBAN: KFC Malaysia dan Matrix Concepts Holdings Bhd mempertimbangkan kemungkinan untuk membuka lebih banyak cawangan KFC di Bandar Sri Sendayan pada masa akan datang, berikutan kejayaan pelancaran dan pembukaan cawangan pertama di bandar itu, hari ini.

Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd, Datuk Seri Mohamed Azahari Kamil, berkata berdasarkan sambutan yang menggalakkan sejak dibuka pada 1 September lalu, pihaknya yakin pembukaan beberapa cawangan baru di situ pada masa akan datang dapat menampung permintaan penduduk yang semakin meningkat.

"Kami sangat gembira dan berbesar hati dapat bekerjasama dengan Matrix dan sudah pasti kami ingin teruskan kerjasama di masa akan datang. Kami percaya peningkatan bilangan penduduk di sini menyumbang kepada permintaan yang tinggi terhadap KFC.

"Kami membuka 21 cawangan KFC baharu di seluruh negara daripada 23 yang kami sasarkan pada tahun ini. Walaupun dengan perubahan kerajaan, perniagaan masih berjalan seperti biasa dan setakat ini impaknya sangat positif kerana kami menawarkan harga makanan yang berpatutan dan kami percaya ia akan menarik lebih ramai pelanggan, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran cawangan KFC ke-700 di Bandar Sri Sendayan, di sini, yang dirasmikan Ketua Pegawai Eleksekutif Yum! Brands Inc, Greg Creed.

Turut hadir Pengerusi QSR Brands, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts Holdings Bhd, Datuk Lee Tian Hock.

Restoran KFC yang beroperasi selama 24 jam itu dapat menampung 170 pelanggan pada satu-satu masa, turut dilengkapi dengan kemudahan pandu lalu.

Dibina di atas tanah seluas 0.4 hektar di Sendayan Metro Park, cawangan itu dibina dengan teknologi mesra alam dan penjimatan tenaga termasuk sistem pengumpulan air hujan, pencahayaan LED, tiub lampu solar, lampu sensor gerakan dan kaca beremesi rendah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab syarikat terhadap alam sekitar.

Tian Hock berkata, syarikat itu menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya empat lagi restoran KFC di Bandar Sri Sendayan, dengan penduduk di bandar moden itu dijangka mencapai 120,000 orang pada masa akan datang.

Berita Harian X