Jumaat, 21 September 2018 | 3:53pm
IMRI Mokhtar
IMRI Mokhtar

TM komited tangani isu pelanggan Streamyx

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) komited untuk menangani isu yang dihadapi oleh pelanggan perkhidmatan Streamyx dengan cara yang lebih komprehensif, apabila hampir separuh daripada pelanggan perkhidmatan berkenaan telah dinaik taraf kepada unifi tanpa kos tambahan.

Naib Presiden Eksekutif unifi, Imri Mokhtar, berkata lebih daripada sejuta pelanggan kediaman dan perniagaan di seluruh negara hari ini adalah pelanggan jalur lebar menerusi rangkaian tembaga TM, sama ada di premis aras tanah dan bangunan tinggi.

Katanya, dengan meningkatnya permintaan terhadap gaya hidup yang lebih digital serta keperluan perniagaan, apa yang dulunya dikenali sebagai ‘internet berkelajuan tinggi’, mungkin tidak bersesuaian lagi.

“Kami mendengar lebih sejuta suara anda. Sebagai rakan dalam pembangunan negara, kami kekal komited untuk melabur dan membina rangkaian yang amat diperlukan bagi memberikan nilai kepada pelanggan, pemegang saham dan pihak-pihak berkepentingan lain serta demi ekonomi digital negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, berdasarkan analitik pelanggan dan rangkaian, lebih 340,000 pelanggan berada di kawasan jalur lebar fiber, namun masih belum lagi menjadi sebahagian daripada 1.26 juta komuniti unifi.

“Sehingga kini, kami berjaya menaik taraf hampir 50 peratus daripada pelanggan ini kepada unifi, tanpa sebarang kos tambahan pada bil bulanan sedia ada mereka. Kami menggesa pelanggan untuk mengambil peluang naik taraf yang menarik ini dan membantu kami melengkapkan proses naik taraf ke unifi yang sedang dijalankan sehingga Mac 2019,” katanya.

Julai lalu, TM mengumumkan pelan naik taraf pelanggan Streamyx kepada unifi di kawasan yang mempunyai liputan unifi atau kelajuan Streamyx akan ditingkatkan dua kali ganda bagi kawasan yang tiada liputan unifi.

Naik taraf ini membolehkan pelanggan jalur lebar sedia ada untuk menikmati sambungan internet lebih pantas pada harga pakej sedia ada.

Berikutan pengumuman itu, TM telah menerima banyak pertanyaan dan maklum balas daripada pelanggan yang amat berminat untuk mengetahui sama ada mereka layak untuk menerima naik taraf kelajuan berkenaan.

Imri berkata, bermula 2010, TM secara berterusan telah memperluaskan kawasan liputan jalur lebar fiber di Malaysia, namun kawasan liputan berkenaan masih belum sampai kepada semua pelanggan jalur lebar sedia ada dengan sepenuhnya.

“Keterbatasan rangkaian tembaga ini lebih ketara untuk pelanggan Streamyx, dengan 8Mbps menjadi kelajuan jalur lebar terbaik yang boleh ditawarkan buat masa ini. Kami hargai kepercayaan anda dan kami benar-benar berterima kasih atas kesetiaan yang diberikan, lebih-lebih lagi kesabaran anda kerana memahami.

“Di kawasan yang tiada halangan teknikal, kami akan menggandakan kelajuan Streamyx tanpa sebarang kos tambahan kepada bil jalur lebar anda. Hampir 180,000 pelanggan Streamyx boleh menantikan naik taraf secara percuma ini,” katanya.

Menerusi Pelan Penambahbaikan Jalur Lebar yang telah dimulakan sejak 2016, ia berusaha untuk meningkatkan pengamalan pelanggan unifi dan Streamyx secara serentak.

Namun, umum mengetahui bahawa, adalah lebih mudah untuk melaksanakan peningkatan kelajuan internet unifi, yang ditawarkan menerusi fiber.

Justeru, TM kini memberi lebih penekanan dan fokus kepada pelanggan Streamyx dan pelanggan jalur lebar di bangunan tinggi yang menerima perkhidmatan menerusi rangkaian tembaga miliknya atau milik pengurusan bangunan berkenaan.

Berita Harian X