Jumaat, 21 September 2018 | 4:23pm

DBhd jual kepentingan Healthcare Technical Services

KUALA LUMPUR: Pemegang saham Damansara Realty Bhd (DBhd) meluluskan penjualan 70 peratus kepentingan dalam Healthcare Technical Services Sdn Bhd (HTS) kepada syarikat dicalonkan oleh Johor Corporation (JCorp), Damansara Assets Sdn Bhd, yang menawarkan untuk membeli kepentingan berkenaan pada harga RM11.04 juta.

JCorp memegang 30 peratus kepentingan dalam HTS menerusi anak syarikatnya, Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn Bhd.

DBhd dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia berkata, urus niaga itu akan membolehkannya mengambil langkah strategik ke arah mengoptimum dan menstruktur semula sumber serta penawarannya, selepas transformasi dalam penyeragaman perniagaan terasnya.

“Kami gembira dengan kejayaan urus niaga ini diselesaikan, yang mempercepatkan pelaburan semula dalam perniagaan syarikat.

“DBhd akan terus mengembangkan segmen perundingan pengurusan projek (PMC) dengan memperluaskan penawarannya dalam perkhidmatan pengurusan projek. Kami meninjau untuk berkembang ke sektor lain seperti pembangunan hartanah, pengangkutan serta minyak dan gas,” kata Pengarah Urusannya, Brian Iskandar Zulkarim.

Sejajar dengan pelan pertumbuhan dalam segmen PMC, DBhd kini akan meneruskan peranannya sebagai perancang induk Gerehu General Hospital, Port Moresby, Papua New Guinea, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion.

Selain itu ia bekerjasama dengan Axventure membangunkan sebuah hospital untuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Puncak Alam, Selangor.

Pada 18 September lalu, DBhd menjual perniagaan pengurusan tempat letak kereta di Singapura, sebagai sebahagian strategik kumpulan untuk menumpukan kepada pengembangan pasaran dalam usaha mengukuhkan segmen perniagaan pengurusan kemudahan bersepadu (IFM), selain memaksimumkan nilai kumpulan.

Anak syarikat milik penuhnya, Metro Parking (M) Sdn Bhd (MPM) memeterai perjanjian jual beli bersama ahli perniagaan India, Selvakumar Baalu untuk menjual 140,000 saham, atau 70 peratus kepentingan dalam Metro Parking (Singapore) Pte Ltd (MPS) pada harga S$100,000 (RM302,400).

Berita Harian X