Rabu, 26 September 2018 | 1:57pm

SilTerra ceburi bidang sains hayat

KUALA LUMPUR: SilTerra Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, sudah memulakan transformasi ke arah pembangunan teknologi kesihatan canggih, sebagai sebahagian daripada strategi mempelbagaikan aliran pendapatannya.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat semikonduktor itu berkata ia melihat potensi dalam pasaran sains hayat, yang dijangka mencecah AS$25.6 bilion (RM106.03 bilion) menjelang 2023 dengan kadar pertumbuhan tahunan 15.3 peratus.

“Transformasi SilTerra bermula beberapa tahun lalu dengan komitmen padu daripada lembaga pengarah SilTerra.

“Kami meramalkan kemasukan dalam sains hayat dan teknologi baharu lain akan meningkatkan keuntungan kami," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Firdaus Abdullah.

Beliau berkata, ia penting kepada strategi keseluruhan syarikat dalam mengukuhkan kualiti aliran pendapatan.

SilTerra berkata, sebahagian besar inovasi terkini itu disumbang usaha sama dengan imec, hab penyelidikan dan inovasi antarabangsa dalam nanoelektronik dan teknologi digital.

Sejajar komitmen ke arah itu, SilTerra yang disokong imec, menerajui rantau ini dengan memulakan satu ekosistem ke arah pembangunan teknologi dalam penjagaan kesihatan dengan menganjurkan Simposium Semikonduktor Dalam Sains Hayat, simposium pertama seumpamanya di Asia, yang diadakan di Pulau Pinang baru-baru ini.

Berita Harian X