Rabu, 26 September 2018 | 3:48pm

SilTerra alih tumpuan ke teknologi kesihatan

KUALA LUMPUR: SilTerra Malaysia Sdn Bhd (SilTerra), syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, kini menumpukan kepada pembangunan teknologi kesihatan sebagai langkah transformasi dalam usaha mencipta aliran pendapatan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Firdaus Abdullah, berkata syarikat semikonduktor itu melihat potensi untuk berkembang dalam pasaran sains kehidupan yang dijangka akan mencecah AS$25.60 bilion menjelang 2023 dengan kadar pertumbuhan purata terkumpul (CAGR) 15.3 peratus

“Transformasi dalam SilTerra bermula beberapa tahun lalu dengan komitmen tinggi dari Lembaga Pengarah SilTerra.

“Kami jangka penembusan ke sektor sains kehidupan dan teknologi baharu muncul lain bakal meningkatkan keuntungan syarikat.

“Ini adalah aspek penting untuk strategi keseluruhan dalam menambah baik kualiti aliran pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Pengurusan Strategik SilTerra, Tan Eng Tong, berkata selari dengan komitmen untuk mencapai matlamat itu, SilTerra memulakan ekosistem ke arah pembangunan teknologi dalam penjagaan kesihatan dengan menganjurkan Simposium Semikonduktor dalam Sains Kehidupan buat julung kali di Asia.

“Simposium ini menghubungkan pemimpin dan pakar penyelidik di peringkat global.

“Ini adalah selari dengan matlamat SilTerra untuk mentransformasi menjadi pendahulu peserta dalam pasaran baharu muncul teknologi dan sains kehidupan,” katanya.

SilTerra adalah pengeluar wafer semikonduktor yang menawarkan perkhidmatan fabrikasi dan sokongan dalam teknologi CMOS logic, voltan tinggi, isyarat campuran, RF, BCD, kuasa dan MEMS hingga ke saiz 90 nanometer.

Berita Harian X