Rabu, 3 Oktober 2018 | 5:44pm
AZHAR (kiri) menyampaikan replika cek zakat perniagaan berjumlah RM100,000 kepada Halidan di Ibu Pejabat PKZ, Jalan Mahkota, Kuantan. - NSTP/Zulkepli Osman

PUNB sasar pinjaman tidak berbayar susut kepada 3.0 peratus

KUANTAN: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyasarkan akaun pinjaman tidak berbayarnya susut kepada 3.0 peratus menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azhar Ahmad, berkata peningkatan sasaran itu adalah berdasarkan prestasi bayaran balik yang memberangsangkan jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.

"Sasaran asal bagi penurunan akaun pinjaman tidak berbayar pada tahun ini adalah sebanyak 6.0 peratus tetapi memandangkan prestasi bayaran semula adalah baik iaitu 6.35 peratus, jadi kita yakin dengan sasaran 3.0 peratus menjelang hujung tahun ini yang berbaki beberapa bulan lagi.

"Prestasi bayaran balik ini adalah baik (jika) dibandingkan dengan jumlah pinjaman tidak berbayar sebanyak 20 peratus pada 2016 dan 2017," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan PUNB sebanyak RM100,000 kepada Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang kepada Pengurus Besar PKZ negeri itu, Datuk Halidan Md Daud, di pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Azhar berkata sejajar usaha memastikan peminjam menunaikan bayaran masing-masing, pihaknya akan menemui mereka bagi mengenal pasti kegagalan mereka berbuat demikian.

"Selepas itu, pihak kami akan membantu peminjam ini dari segi penjadualan semula bayaran atau menstruktur semula bayaran bagi meringankan beban mereka," katanya.

Beliau juga menyifatkan bayaran balik pinjaman di Pahang sebagai terkawal iaitu 4.7 peratus bagi akaun pinjaman tidak berbayar yang membabitkan seramai 623 usahawan dengan nilai pembiayaan sebanyak RM146 juta.

Selain itu, Azhar berkata, PUNB telah memberi pembiayaan bernilai RM290.9 juta kepada seramai 1,307 usahawan di seluruh negara setakat 28 September lalu. - BERNAMA

Berita Harian X