Rabu, 17 Oktober 2018 | 8:31pm

LRT3 diteruskan pada kos RM16.6 bilion, hampir separuh daripada asal

KUALA LUMPUR: MRCB George Kent Sdn Bhd berkata kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dengan kos RM16.6 bilion, hampir separuh atau 47 peratus daripada kos asalnya sebanyak RM31.65 bilion pada Julai.

Itu termasuk kos pengambilan tanah, kepentingan semasa pembinaan dan kos lain.

"Konsep pelaksanaan projek akan diubahsuai dari rejim rakan kongsi projek (PDP) kepada rejim kontrak harga tetap," kata Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) dan George Kent (Malaysia) Bhd dalam satu kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Mereka berkata, pengumuman lanjut kepada Bursa Malaysia akan dibuat apabila terdapat perkembangan material berhubung projek terbabit.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada 10 Julai lalu mendedahkan bahawa jumlah kos sebenar projek itu meningkat kepada RM31.65 bilion, disebabkan oleh kesilapan anggaran oleh Prasarana Malaysia Bhd, yang mana anggaran asal ketika projek itu dilancarkan pada 2015 adalah RM9 bilion.

Beliau juga mendedahkan bahawa Prasarana telah mendapatkan pembiayaan tambahan sebanyak RM22 bilion dalam bentuk jaminan kerajaan pada 30 Mac, tambahan kepada RM10 bilion yang diberikan pada tahun 2015 untuk membiayai projek itu.

Guan Eng kemudiannya meminta pengurangan kos untuk memastikan projek itu dapat dilaksanakan dengan kos lebih jimat.

Pada 12 Julai, Guan Eng berkata, kerajaan bersetuju bahawa projek itu akan diteruskan, dengan kos yang lebih rendah pada RM16.63 bilion.

LRT3 membabitkan laluan sejauh 37 kilometer akan menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya hingga Johan Setia, Klang.

Pada April 2017, Prasaran mengumumkan usaha sama MRCB George Kent yang dilantik sebagai PDP untuk projek LRT3, berbanding enam syarikat yang menghantar tender.

Enam syarikat yang disenarai pendek untuk penilaian akhir bagi pembinaan projek berkenaan adalah IJM Corp Bhd, MMC Gamuda JV, Naza TTDI Sdn Bhd-CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co Ltd JV, Sunway Construction Bhd, UEM Group Bhd dan WCT-Alloy MTD JV.

Saham MRCB ditutup naik 7.5 sen atau 10.42 peratus pada 79.5 sen, dengan 84.23 juta saham bertukar tangan, berjumlah RM3.49 bilion

Minggu lalu, Kabinet bersetuju projek LRT3 diteruskan dengan kos keseluruhan berjumlah RM16.63 bilion iaitu 47 peratus lebih rendah daripada kos asal RM31.65 bilion.

Berita Harian X