Isnin, 22 Oktober 2018 | 2:14pm
PETER Schiesser pada taklimat media mengenai DuitNow di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
PETER Schiesser pada taklimat media mengenai DuitNow di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

DuitNow tingkat akses pembayaran dalam talian

KUALA LUMPUR: Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), meluaskan akses sistem pembayarannya bagi pemindahan wang secara serta-merta menggunakan nombor telefon bimbit, menerusi pengenalan DuitNow.

DuitNow bakal mengubah landskap pembayaran di Malaysia dengan menyediakan kemudahan, kecekapan dan ketersediaan dana segera dalam tempoh 24 jam sehari.

Dengan berkongsi nombor telefon bimbit, pengguna DuitNow yang berdaftar boleh menerima dana dengan mudah tanpa memberi nombor akaun bank mereka kepada pembayar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser, berkata pelanggan bank boleh mengakses DuitNow hanya melalui saluran perbankan Internet dan mudah alih bank mereka dengan selamat.

"DuitNow akan dilancarkan kepada orang ramai pada 8 Disember 2018 dan pada masa ini terdapat sembilan bank telah mengambil bahagian memperkenalkan kemudahan DuitNow dan kami menjangkakan lebih 40 bank akan turut serta pada masa akan datang.

"Pelancaran DuitNow akan memberi lonjakan besar dan nilai tambah dalam pasaran e-pembayaran, menjadikannya saluran yang pantas, lancar dan mudah untuk memenuhi permintaan segera dalam dunia digital dan terhubung," katanya pada taklimat media mengenai DuitNow di sini, hari ini.

Antara bank yang telah mengambil bahagian adalah Maybank, CIMB Bank, RHB Bank, AmBank, Public Bank, CitiBank, HSBC, Hong Leong Bank dan Standard Chartered Bank.

Selain DuitNow, PayNet turut menyediakan perkhidmatan Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Tepat Masa (RENTAS), Sistem Penjelasan Imej Cek Kebangsaan (eSPICK), pemindahan antara bank GIRO (IBG), skim pembayaran JomPAY, skim kad debit domestik MyDebit, gerbang pembayaran internet terus ke bank FPX, Debit Terus dan MEPS.

Bermula 8 Disember ini, pelanggan juga boleh melakukan pendaftaran permulaan bagi DuitNow melalui platform perbankan Internet dan mudah alih bank mereka.

Pelanggan juga boleh membatalkan pendaftaran sedia ada atau memautkan nombor telefon bimbit atau pengenal pasti lain kepada bank atau akaun lain.

Sekali pendaftaran diperlukan untuk menerima pembayaran, namun pelanggan bank tidak perlu mendaftar untuk menggunakan DuitNow apabila melakukan pembayaran.

Selepas pelancaran DuitNow pada Disember ini, pelanggan boleh melakukan pembayaran dengan mengakses DuitNow di bawah menu Pindahan Dana dari saluran Perbankan Internet dan Mudah Alih bank masing-masing.

Pembayaran sehingga RM5,000 adalah percuma untuk semua pengguna dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Berita Harian X