X
Selasa, 23 Oktober 2018 | 2:01pm
Pengarah merangkap Pengasas Bersama Tresgo Sdn Bhd, Safiyya Azman (kanan) dan Pengasas Bersamanya, Nadhra Fauzi. - Foto Salhani Ibrahim
Pengarah merangkap Pengasas Bersama Tresgo Sdn Bhd, Safiyya Azman (kanan) dan Pengasas Bersamanya, Nadhra Fauzi. - Foto Salhani Ibrahim

TresGo tawar kemudahan penyimpanan lebih besar

SUBANG JAYA: Tresgo Sdn Bhd (TresGo), syarikat e-pelengkap atau e-fulfillment diusahakan dua wanita muda, menyaksikan peningkatan ketara lebih 20 peratus dalam pendapatan sejak ia memperkenalkan Fortres, sistem pemantauan dan penjejakan penghantaran.

Pengarah merangkap Pengasas Bersamanya, Safiyya Azman, berkata Fortres bertujuan membantu syarikat dan pelanggan memusatkan semua tempahan diterima daripada laman web dan laman beli belah ke dalam satu lokasi.

“Sejak pelancarannya November tahun lalu, kami menyaksikan peningkatan pendapatan sebanyak 22 peratus bagi bulan-ke-bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran gudang dan ibu pejabat baharu syarikat itu di sini hari ini. Turut hadir, Pengasas Bersamanya, Nadhra Fauzi.

Safiyya berkata, dengan TresGo, tidak kira apa saja platform dalam talian yang digunakan, semua tempahan dapat dibungkus dan dihantar daripada pusat pengedaran berpusat.

Bagi peniaga yang menjual bukan secara dalam talian ke outlet dan pasar raya besar umpamanya, penghantaran juga boleh diuruskan syarikat, katanya.

Sementara itu, Nadhra berkata pihaknya percaya perkhidmatan ditawarkan itu dapat membantu meringankan beban usahawan, terutamanya yang mahukan pasukan yang kecil dan menumpu sepenuhnya kepada aktiviti perniagaan teras.

“Lebihan masa boleh ditumpukan kepada jualan,” katanya sambil menambah pihaknya tidak mengenakan deposit ataupun caj minimum.

Tresgo yang ditubuhkan pada April 2017 menawarkan tiga perkhidmatan khusus iaitu penyimpanan, pembungkusan dan penghantaran, selari dengan nama syarikat itu sendiri, Tres yang bermaksud tiga di dalam bahasa Sepanyol.

Memulakan perniagaan di Wangsa Maju di dua lot perniagaan seluas 2,000 kaki persegi, ia berpindah ke lokasi baharu di USJ 19 sejak sebulan lalu yang menawarkan ruang penyimpanan 13,000 kaki persegi.

Berita Harian X