Jumaat, 26 Oktober 2018 | 8:53pm
RHB Indochina Bank Ltd (RHB Indochina). - Foto phnompenhpost.com
RHB Indochina Bank Ltd (RHB Indochina). - Foto phnompenhpost.com

RHB sedia kukuh kedudukan di Kemboja, Indochina

KUALA LUMPUR: RHB Indochina Bank Ltd (RHB Indochina), ahli Kumpulan Perbankan RHB (RHB) bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya di Kemboja dan rantau Indochina tahun depan dengan memacu pengembangan runcit dan mempromosikan perbankan digital.

RHB berkata, antara keutamaan pada 2019, RHB Indochina merancang untuk melancarkan kempen deposit bagi menarik deposit dolar AS dan riel Kemboja, terutama untuk akaun semasa dan simpanan (CASA) dan meningkatkan portfolio pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebanyak 12 peratus.

“RHB Indochina sedang berusaha untuk memperoleh deposit AS$575 juta (RM2.4 bilion) dan mengekalkan komposisi CASA pada 45 peratus perniagaannya.

“Bank ini juga akan memperluaskan penawaran produk dan perkhidmatannya untuk memenuhi permintaan komuniti perniagaan dan penduduk Kemboja dengan memperkenalkan perbankan premier, peti deposit keselamatan dan kad debit," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

RHB berkata, RHB Indochina melancarkan Aplikasi Perbankan Mudah Alih RHB hari ini, yang akan menawarkan pengalaman perbankan yang mudah, cepat dan lancar kepada pelanggan.

“Aplikasi baharu ini membolehkan pelanggan melihat akaun mereka dalam talian, membayar bil, memindahkan dana, tambah nilai mudah alih dan pemindahan wang tunai melalui RHB Pay Anyone menggunakan akaun e-mel, telefon atau Facebook tanpa memerlukan nombor akaun bank,” katanya.

Sejak pelancaran platform perbankan Internet RHB Now pada September tahun lalu, RHB Indochina mempunyai lebih daripada 4,000 pengguna aktif.

“Sektor PKS memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Kemboja yang menyumbangkan 40 hingga 50 peratus daripada jumlah pekerjaan dan aktiviti perniagaan di negara berkenaan.

“Sebagai sebuah kumpulan perkhidmatan kewangan multinasional dengan kehadiran serantau merangkumi sembilan negara di rantau ASEAN, Hong Kong dan China, kami berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menyokong PKS.

“Kumpulan ini boleh menyediakan akses kepada pembiayaan dan menyediakan peluang untuk hubungan dan rangkaian perniagaan melalui misi perdagangan terancang ke pasaran utama di mana kami berada," kata Datuk Khairussaleh Ramli, Pengarah Urusan Kumpulan, RHB Banking Group dan Pengerusi RHB Indochina Bank.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X