Rabu, 31 Oktober 2018 | 9:57pm
SETIAUSAHA Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik (dua dari kiri) bersama Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, Azmir Jaafar (kiri) hadir pada majlis penyerahan sumbangan tanggungjawab sosial korporat bagi Program Komuniti McDonald's dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RHMC) dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan di Seremban 2. - Foto Adzlan Sidek

McDonald's Malaysia rancang buka 16 restoran lagi tahun ini

SEREMBAN: McDonald's Malaysia, rangkaian global perkhidmatan makanan bercadang membuka sehingga 16 restoran lagi di seluruh negara pada tahun ini, kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, Azmir Jaafar.

Beliau berkata setakat ini bagi 2018, pihaknya sudah membuka hampir 10 restoran.

"Dalam masa lima tahun ini, kita akan membuka 20 hingga 25 restoran setiap tahun.

“Jadi, insya-Allah, program perantisan McDonald's menerusi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah Kementerian Sumber Manusia merupakan antara sumber kita mendapatkan tenaga kerja," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan tanggungjawab sosial korporat bagi Program Komuniti McDonald's dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RHMC) dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan.

Azmir berkata program pertukaran pekerja juga akan diadakan antara McDonald's Malaysia dengan McDoland's luar negara seperti McDonald's Singapura, McDonald's Jeddah dan McDonald's Qatar.

“Kita mahu tekankan bahawa peluang bekerja di restoran McDonald's bukan setakat di Malaysia, malah, di beberapa negara lain,” katanya.

Mengenai majlis itu, beliau berkata tiga acara diadakan hari ini iaitu penyerahan zakat perniagaan McDonald's sebanyak RM100,000 kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS), penyerahan sijil kepada pelatih SLDN serta pemberian pek 'Kembali ke Sekolah'.

Beliau berkata, McDonald's Malaysia yang bertapak lebih 35 tahun di Malaysia amat mementingkan program komuniti dengan mengadakan lebih 6,000 program komuniti di seluruh negara antaranya Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, 'Gift of Smile' dan program 'Kembali ke Sekolah'.

“Semua program ini bermatlamat memberi impak positif dalam kehidupan kanak-kanak melibatkan kesihatan, pendidikan dan kebajikan.

“Insya-Allah, kita akan teruskan usaha murni ini. Lebih-lebih lagi program 'Kembali ke Sekolah' yang bertujuan meringankan beban ibu bapa terutamanya golongan miskin bandar. Pada tahun ini kita telah menghulurkan bantuan bernilai lebih RM1.7 juta kepada lebih 17,000 orang murid (sekolah rendah) daripada golongan miskin bandar di seluruh negara. Setiap murid diberi set pakaian seragam, sepasang kasut dan beg sekolah,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik mengalu-alukan program itu yang secara tidak langsung menyumbang ke arah merealisasikan hasrat kerajaan negeri bagi kesejahteraan rakyat, bersesuaian dengan tema kerajaan negeri iaitu Muafakat, Bersih, Sejahtera.

Beliau berkata, kerjasama erat antara sektor korporat dan kerajaan negeri amat penting dalam usaha mencapai keseimbangan sosioekonomi negeri dan negara.

“Penglibatan sektor korporat untuk turut berada di barisan hadapan dan seiring dengan kerajaan negeri menggalas tanggungjawab memastikan kesejahteraan masyarakat terbela, mencerminkan keprihatinan semua pihak terhadap konsep perkongsian kemakmuran untuk dinikmati bersama,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X