Khamis, 15 November 2018 | 5:47pm
AHLI Lembaga Pengarah ATP, Ramelle Ramli (tiga dari kanan) hadir pada sidang media kempen terbaru MAPS iaitu Your Colorful Holiday With Boboiboy Galaxy Volume 2 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
AHLI Lembaga Pengarah ATP, Ramelle Ramli (tiga dari kanan) hadir pada sidang media kempen terbaru MAPS iaitu Your Colorful Holiday With Boboiboy Galaxy Volume 2 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Lebih 100,000 dijangka kunjungi MAPS sempena cuti sekolah

KUALA LUMPUR: Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), pengendali Movie Animation Park Studios (MAPS) menjangka mencapai jualan lebih 100,000 tiket atau pelawat ke taman tema filem animasi pertama Asia itu menjelang musim cuti persekolahan bermula hujung November ini.

Ahli Lembaga Pengarah ATP, Ramelle Ramli, berkata pada masa ini pihaknya sudah berjaya menjual sebanyak 65,000 tiket yang masih belum digunakan, meskipun musim cuti persekolahan belum lagi bermula.

"Kami yakin promosi dan tarikan yang bakal diperkenalkan sepanjang musim cuti persekolahan ini mampu untuk melonjakkan jualan tiket MAPS kepada 50,000 tiket dalam tempoh masa terdekat, sekali gus melepasi jualan kira-kira 50,000 tiket pada musim cuti persekolahan hujung tahun lalu, " katanya kepada Bisnes NSTP ketika sidang media kempen terbaru MAPS iaitu Your Colorful Holiday With Boboiboy Galaxy Volume 2 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Pembangunan Animonsta, Mohd Safwan Ab Karim.

Sementara itu, MAPS memperkenalkan tarikan terbarunya iaitu roller coaster Boboiboy Galaxy Cactus bagi melengkapkan lagi pengalaman hiburan di taman tema terbabit.

Beliau berkata, tarikan yang menyasarkan golongan keluarga terutama kanak-kanak itu bakal beroperasi secara rasmi pada 7 Disember ini.

"Selain itu, pengunjung berpeluang membeli barangan eksklusif watak animasi popular Malaysia itu di kedai cenderamata Boboiboy Collectible dan menikmati 20 pilihan bufet di kafeteria Boboiboy," katanya.

Dalam perkembangan sama, pengunjung MAPS berpeluang berhibur dengan Teater Muzikal Hantu Kak Limah di taman tema itu bermula 24 hingga 31 Disember 2018 dengan harga tiket masuk bernilai RM90.

Teater yang diadaptasi daripada filem Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid itu akan dipentaskan sebanyak dua kali sehari di Teater MAPS.

Bersempena kempen terbaharu musim cuti persekolahan yang bakal tiba, MAPS turut menawarkan pakej tiket bernilai RM220 bagi empat orang dan RM250 (lima orang) di samping jualan tiket secara terus pada harga RM80 seorang dan RM60 seorang (atas talian).

Berita Harian X