Rabu, 21 November 2018 | 9:58am
ROHANA Rozhan. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Rohana calon CEO TM?

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Malaysia Holdings Bhd Group, Datuk Rohana Rozhan dipercayai antara pesaing bagi menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Bhd (TM), demikian kata sumber kepada Bisnes NSTP.

Sumber itu berkata, sejak peletakan jawatan Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly pada Jun, jawatan di TM itu dibuka dan antara calon yang tampil adalah Rohana.

“Terdapat lima calon, dan tiga calon adalah bukan dari TM. Salah seorang daripadanya adalah beliau (Rohana),” kata sumber itu.

Rohana akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, berkuatkuasa 31 Januari 2019, namun akan kekal berada dalam Lembaga Pengarah sebagai Pengarah Bukan Eksekutif.

Sumber memberitahu Bisnes NSTP bahawa pesaing lain selain Rohana adalah bekas Ketua Pegawai Strategi TM, Dr Farid Mohamed Sani.

Farid dilantik pada 1 Januari 2012.

Sebelum menyertai TM, beliau bersama Khazanah Nasional Bhd memegang jawatan Pengarah Pelaburan, khusus dalam sektor telekomunikasi.

Sumber itu berkata, Datuk Bazlan Osman, yang meletakkan jawatan sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM pada Jumaat lalu, menolak tawaran Lembaga Pengarah untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan sebelum meletak jawatan selepas berkhidmat dengan kumpulan selama 16 tahun.

Pengunduran Bazlan berlaku di tengah-tengah tempoh sangat mencabar untuk kumpulan telekomunikasi itu.

Sejurus selepas beliau dilantik sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM menyemak semula turun jangkaan pertumbuhan pendapatannya tahun ini, berikutan perubahan dinamik pasaran dan persekitaran operasi yang mencabar.

TM kini menjangkakan pertumbuhannya tidak berubah atau lebih buruk, -1.0 peratus berbanding 3.5 hingga 4.0 peratus sebelumnya.

Kumpulan itu juga menyemak semula panduan perbelanjaan modalnya (capex) tahun ini kepada antara 20 peratus dan 22 peratus daripada pendapatan, berbanding 20 peratus yang dinyatakan pada awal tahun ini.

Selain itu, TM juga mengumumkan rancangan unifi baharu, iaitu yang paling agresif dalam tempoh beberapa tahun.

Pelan baharu itu termasuk pakej unifi permulaan yang berpatutan pada 30Mbps untuk segmen B40 yang disasarkan, pelan unifi 'turbo' yang menawarkan lebih sekali ganda kelajuan jalur lebar semasa dan pakej naik taraf khas untuk pra-unifi (dahulunya dikenali sebagai Streamyx).

Keuntungan bersih TM jatuh kepada RM259.09 juta dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2018 berbanding RM440.92 juta tahun lalu, yang terjejas dengan persaingan yang semakin meningkat dalam pasaran jalur lebar tetap dan penurunan harga mandatori.

Jumaat lalu, TM mengumumkan perlantikan Imri Mokhtar sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan berikutan peletakan jawatan Bazlan yang berkuatkuasa 16 November.

TM berkata, Bazlan juga meletak jawatan sebagai Pengarah Eksekutif syarikat itu, yang akan berkuatkuasa pada 28 Februari 2019.

Imri, 45, adalah Ketua Pegawai Operasi TM dan juga Naib Presiden Eksekutif unifi dan bertanggungjawab untuk pengurusan menyeluruh portfolio yang terdiri daripada perkhidmatan telefon, jalur lebar, mudah alih, TV, wifi dan tambah nilai untuk pelanggan kediaman dan enterpris sederhana TM.

Berita Harian X