Rabu, 21 November 2018 | 3:08pm

Untung bersih MAHB meningkat

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi suku ketiga berakhir 30 September 2018 meningkat kepada RM168.49 juta daripada RM80.93 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Perolehan bagi suku sama yang dinilai juga naik 1.5 peratus kepada RM1.23 bilion daripada RM1.21 bilion sebelumnya.

Perolehan daripada operasi lapangan terbang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.7 peratus kepada RM1.16 juta.

“Segmen aeronautika meningkat kepada RM632.4 juta bagi suku yang sama tahun lalu,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

MAHB berkata operasi di Malaysia mencatatkan pertumbuhan penumpang sebanyak 2.0 peratus (antarabangsa: 3.1 peratus; domestik: 0.8 peratus) kepada 25.0 juta penumpang berbanding 24.5 juta penumpang bagi suku sama tahun lalu.

Berhubung operasi di Turki, syarikat itu berkata aliran penumpang meningkat sebanyak 7.8 peratus kepada 9.7 juta penumpang daripada 9.0 juta penumpang bagi tempoh sama tahun lalu.

“Aliran trafik antarabangsa dan domestik masing-masing meningkat 6.3 peratus dan 8.6 peratus,” katanya.

Sementara itu, segmen bukan aeronautika merosot sedikit sebanyak 1.6 peratus kepada RM523.0 juta berikutan perolehan bukan aeronautika lebih rendah daripada operasi di Turki.

“Operasi bukan lapangan terbang turut menurun sebanyak 2.1 peratus atau RM1.6 juta berikutan perolehan lebih rendah daripada perniagaan hotel dan pertanian,” katanya.

Secara keseluruhan, perolehan daripada operasi di Malaysia dan Qatar masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 2.6 peratus kepada RM883.5 juta dan 3.4 peratus kepada RM36.8 juta manakala perolehan daripada operasi di Turki turun sebanyak 2.0 peratus kepada RM309.2 juta.

-BERNAMA

Berita Harian X