Rabu, 21 November 2018 | 7:46pm
Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB), Tan Sri Leo Moggie.

Pengerusi TNB dapat anugerah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB), Tan Sri Leo Moggie menerima pengiktirafan daripada Persatuan Tenaga Profesional Malaysia (MEPA) atas sumbangan meluas dan berpanjangannya kepada industri utiliti elektrik negara, yang menjangkau lebih empat dekad.

Anugerah disampaikan Presiden MEPA, Datuk Mohsen Hasbollah, di majlis MEPA Energy Night, Jumaat lalu.

Turut hadir ialah Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Ir Azman Mohd dan Pengerusi Suruhanjaya Tenaga (ST), Datuk Ir Ahmad Fauzi Hassan.

Mohsen berkata MEPA yang ditubuhkan pada 2002 dicetuskan Moggie ketika beliau berucap selaku Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia di Konvensyen Kebangsaan Profesional Tenaga pada April 2000.

Pengerusi TNB sejak April 2004 itu adalah personaliti dihormati dalam industri utiliti elektrik di Malaysia.

Beliau telah dua kali memegang portfolio tenaga, iaitu selama 20 tahun daripada sepanjang 26 tahun menganggotai Jemaah Menteri Malaysia.

Dalam ucapannya, Moggie berbangga kerana MEPA kini telah berjaya membantu melahirkan profesional yang berkaliber untuk industri tenaga.

“Saya gembira melihat MEPA gigih berusaha ke arah masa depan yang lebih baik untuk industri tenaga melalui program latihannya.

“Ini adalah selaras dengan matlamatnya untuk mewujudkan kumpulan profesional tenaga yang berdedikasi di negara ini,” katanya.

Berita Harian X