Khamis, 22 November 2018 | 8:32am
- Foto The Malaysian Times

IPIC pula ambil tindakan undang-undang ke atas Goldman Sachs

ABU DHABI: International Petroleum Investment Co (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi berkata, ia sudah memfailkan tuntutan mahkamah ke atas bank pelaburan Goldman Sachs dan pihak-pihak lain bagi mendapatkan semula kerugian yang dialami sepanjang berurus niaga dengan dana kerajaan Malaysian 1MDB.

1Malaysia Development Bhd (1MDB) kini tertakluk kepada penyiasatan berhubung rasuah dan penggubahan wang di sekurang-kurangnya enam negara.

Syarikat milik kerajaan itu dalam satu kenyataan berkata, ia memfailkan tuntutan sivil di New York ke atas Goldman, dan pihak-pihak lain, mendakwa bahawa mereka "memainkan peranan penting dalam usaha jangka panjang untuk merasuah bekas eksekutif IPIC dan anak syarikatnya Aabar Investments, dan memperdayakan IPIC dan Aabar."

Tuntutan itu mendakwa Goldman bersubahat dengan orang-orang tidak dikenal dari Malaysia untuk merasuah Khadem Abdulla al-Qubaisi, bekas pengarah urusan IPIC dan pengerusi Aabar, dan Mohamed Ahmed Badawy al-Husseiny, bekas ketua eksekutif Aabar, untuk melanjutkan perniagaan Goldman dan 1MDB dengan mana IPIC dan Aabar terdedah kepada risiko.

"Kami dalam proses menilai perincian dakwaan dan menjangka untuk bersungguh-sungguh mencabar tuntutan itu," kata juru cakap Goldman.

Pegawai kerajaan Malaysian tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan ulasan.

IPIC juga berkata ia sudah memfailkan aduan jenayah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) terhadap Qubaisi dan Husseiny, bagi dakwaan menerima sogokan dan menyalah guna kuasa masing-masing.

Tidaklah diketahui di mana kedua-dua mereka berada hari ini, justeru tidak dapat dihubungi.

Tahun lalu, 1MDB dan kerajaan Malaysia bersetuju untuk membayar AS$1.2 bilion kepada IPIC di bawah Award Persetujuan timbang tara di London dan memikul tanggungjawab bagi pembayaran faedah ke atas bon 1MDB yang dijamin IPIC.

Malaysia sekarang cuba mengetepikan keputusan timbang tara itu.

Kerajaan Malaysia sudah membuat permohonan kepada mahkamah di England untuk mendapatkan perintah mengetepikan Award Persetujuan yang direkodkan pada 9 Mei tahun lalu oleh Tribunal Timbang Tara yang bersidang di London.

Asas bagi cabaran perundangan Malaysia di Mahkamah Tinggi di London itu adalah bahawa Award Persetujuan itu diperoleh secara penipuan atau dengan cara yang bertentangan dengan dasar umum. - Agensi

Berita Harian X