Jumaat, 23 November 2018 | 3:51pm
Antara tempat memproses loji jana kuasa arang batu Malakoff Corporation di Tanjung Bin.

Malakoff catat untung bersih lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Malakoff Corporation Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM83.50 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2018 daripada RM64.18 juta pada suku yang sama 2017.

Perolehan meningkat kepada RM1.91 bilion daripada RM1.82 bilion bagi tempoh yang sama, disumbangkan khususnya oleh pembayaran tenaga lebih tinggi daripada kilang arang batu Tanjung Bin Power Sdn Bhd dalam keadaan harga arang batu yang dikenakan lebih tinggi.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar air dan tenaga bebas itu berkata prestasi perolehan lebih kukuh berkenaan juga disumbangkan oleh Segari Energy Ventures Sdn Bhd, berdasarkan faktor penghantaran yang lebih tinggi dan kenaikan tarif gas asli berdasarkan lanjutan perjanjian pembelian tenaga.

Menuju ke hadapan, Malakoff berkata ia menjangkakan prestasinya kekal memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

“Ini disokong oleh langkah terbaharu kerajaan untuk memperluas perjanjian bekalan bagi program Perjanjian Bekalan bagi Tenaga Boleh Diperbaharu (SARE), serta mekanisme Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang lebih baik, yang akan memberi petanda baik bagi pertumbuhan tenaga boleh diperbaharu di negara ini,” katanya.

Malakoff berkata, Program SARE membolehkan pengguna memasang panel solar di kediaman mereka mengikut konsep pajakan solar, dan pada masa sama mekanisme NEM yang ditingkatkan mendorong pengguna menikmati rebat lebih baik bagi tenaga solar.

“Syarikat sedang meneliti beberapa peluang tenaga boleh diperbaharu berpotensi di dalam dan luar negara untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharu,” katanya.

Berita Harian X