X
Selasa, 27 November 2018 | 5:03pm

PETRONAS raih untung bersih RM14.3 bilion

KUALA LUMPUR: PETRONAS mencatatkan keuntungan bersih RM14.3 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2018, meningkat 43 peratus berbanding RM10 bilion pada suku sama tahun lalu.

Ini sebahagiannya diimbangi oleh kos produk yang lebih tinggi seiring dengan harga yang lebih tinggi, ditambah dengan peningkatan susut nilai dan pelunasan.

Pendapatan yang diraihnya pada suku dikaji berjumlah RM63.9 bilion, menokok 19 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dipacu khususnya oleh harga purata produk utama yang lebih tinggi di samping meningkatnya kecekapan di seluruh kumpulan.

Ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan pengukuhan kadar pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan jumlah jualan yang lebih rendah, terutama untuk gas asli cecair (LNG).

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) mencatatkan pertumbuhan 25 peratus kepada RM26.9 bilion, daripada RM21.5 bilion pada suku ketiga 2017.

Pelaburan modal pada suku tahun ini adalah RM6.7 bilion, khususnya oleh projek-projek huluan.

Mengulas prestasi suku ketiga itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata keupayaan mencatat satu lagi prestasi suku tahunan yang kukuh terus mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat petroleum kebangsaan itu.

Beliau berkata, prestasi lebih baik itu didorong oleh usaha peningkatan operasi berterusan di seluruh kumpulan dan disokong oleh kenaikan harga minyak sepanjang tempoh terbabit.

“PETRONAS berada di landasan yang betul untuk mencatatkan prestasi akhir tahun yang kukuh dengan mengekalkan tumpuan kami terhadap usaha memacu kecekapan di semua operasi kami.

“Penurunan harga minyak baru-baru ini menggambarkan sifat tidak menentu serta suasana kitaran industri dan kami akan terus mengekalkan tinjauan berhemah kami di tengah-tengah landskap ini sambil kekal teguh dalam mengejar strategi pertumbuhan bagi memastikan kemampanan dan kemajuan jangka panjang syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2018, PETRONAS mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 12 peratus kepada RM181.1 bilion, terutama disebabkan oleh kesan kenaikan harga purata yang lebih tinggi bagi produk utama serta peningkatan usaha kecekapan.

Ia sebahagian besarnya diimbangi oleh kesan daripada pengukuhan kadar pertukaran ringgit berbanding dolar AS.

Keuntungan bersih bagi sembilan bulan pertama 2018 meningkat sebanyak 50 peratus kepada RM41.0 bilion dari tempoh sama 2017.

Prestasi lebih baik itu disebabkan terutamanya oleh pendapatan yang lebih tinggi, penurunan nilai bersih ke atas aset serta perbelanjaan lain.

Ini sebahagiannya diimbangi oleh kos produk yang lebih tinggi seiring dengan harga yang lebih tinggi ditambah dengan peningkatan susut nilai dan pelunasan serta perbelanjaan cukai.

Pelaburan modal untuk tempoh terbabit ialah RM26.5 bilion, terutama disebabkan oleh projek-projek huluan dalam menyokong kecemerlangan operasi dan strategi pertumbuhan kumpulan.

Berita Harian X