Khamis, 29 November 2018 | 1:52pm

Maybank raih laba RM7.81 bilion

KUALA LUMPUR: Maybank mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi sembilan bulan berakhir 30 September sebanyak 8.8 peratus kepada RM7.81 bilion berbanding RM7.17 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Peningkatan itu didorong pendapatan berasaskan dana bersih lebih tinggi, kecekapan pengurusan kos serta pengurangan berterusan dalam kerugian rosot nilai.

Keuntungan bersihnya pula meningkat 7.4 peratus kepada RM5.79 bilion berbanding RM5.39 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagi suku ketiga tahun kewangan 2018 pula, bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih rendah pada RM2.64 bilion berbanding RM2.68 bilion tahun sebelumnya.

Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin, berkata penurunan itu disebabkan kemerosotan pendapatan operasi bersihnya sebanyak 3.3 peratus terutamanya disebabkan kejatuhan berterusan pasaran global yang melemahkan pertumbuhan ekonomi dan permintaan dalam segmen utama.

Mohaiyani berkata, keuntungan bersih suku ketiga adalah sebanyak RM1.96 bilion berbanding RM2.03 bilion pada tempoh sama 2017.

Beliau berkata, kumpulan terkesan dengan perubahan global yang tidak menentu dan ketidakstabilan pasaran yang menyebabkan pendirian berhati-hati di kalangan pelanggan terutamanya korporat.

“Bagaimanapun, kami tetap memberi tumpuan kepada pengurusan risiko mantap serta mengekalkan kedudukan modal dan kecairan yang teguh, dan ini membantu kami menahan cabaran yang berterusan, terutama pada suku ketiga.

“Kami akan terus memberikan tumpuan kepada pemantauan risiko dan pematuhan untuk memastikan kumpulan dapat mengekalkan pulangan nilai yang munasabah kepada semua pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Farid Alias pula berkata, faktor geopolitik yang berterusan menjadi kebimbangan utama kerana ia akan mempengaruhi pertumbuhan global, termasuk Asia, di mana Maybank mempunyai banyak rangkaian operasinya.

Beliau berkata, kumpulan bagaimanapun percaya kekuatan rangkaiannya di rantau ini serta asas kukuhnya membantu mengatasi ketidakpastian yang mungkin timbul pada masa akan datang.

“Kami akan terus tangkas untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pesat pasaran, pada masa yang sama mencari peluang pertumbuhan dalam pembiayaan infrastruktur, pengurusan kekayaan, perbankan digital dan perbankan Islam.

“Kami akan memastikan untuk terus berkembang secara bertanggungjawab, serta mengekalkan disiplin dalam penentuan harga dan pengurusan kos,” katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir pada 30 September 2018, pendapatan operasi bersih adalah sebanyak RM17.33 bilion, atau 0.8 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Ini disebabkan peningkatan pendapatan berasaskan dana bersih sebanyak 1.6 peratus kepada RM12.66 bilion daripada RM12.47 bilion manakala pendapatan berasaskan fi bersih mencatat sedikit penurunan kepada RM4.67 bilion daripada RM4.72 bilion pada tahun sebelumnya.

Berita Harian X