Jumaat, 30 November 2018 | 5:01pm

Strategi RESET bakal pacu segmen runcit MAHB

SEPANG: Strategi RESET Komersial yang dilaksanakan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dijangka memacu pertumbuhan segmen runcit pengendali lapangan terbang itu.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB, Mohammad Nazli Abdul Aziz, berkata strategi RESET Komersial akan meningkatkan profil runcit lapangan terbang menerusi pembaharuan hartanah, kedudukan jenama dan campuran peruncitan baharu.

"MAHB komited dalam pertumbuhan jaringan perhubungan lapangan terbang kerana kami percaya Malaysia adalah lokasi strategik di ASEAN sekali gus memberikan kelebihan kepada industri runcit," katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan sempena Persidangan Syarikat Konsesi Ke-9 di sini, hari ini.

Mohammad Nazli, berkata pertumbuhan positif dalam kemasukan pelancong perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh segmen runcit MAHB.

Katanya, sebagai pengendali 39 lapangan terbang di Malaysia termasuk enam lapangan terbang antarabangsa, MAHB memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelancong.

"MAHB menyasarkan untuk meningkatkan purata perbelanjaan setiap penumpang (SPP) kepada empat kali ganda berbanding RM35 ketika ini kepada RM140 dalam tempoh lima tahun.

"Secara keseluruhannya, kami juga menjangkakan pendapatan bukan aeronautik dan aeronautik dengan nisbah 60:40 daripada 50:50 ketika ini," katanya.

Setakat Oktober 2018, operasi lapangan terbang kendalian MAHB mencatatkan pergerakan 89 juta penumpang.

Sementara itu, lebih 350 peserta yang juga peruncit menyertai Persidangan Syarikat Konsesi 2018.

Persidangan tahunan itu menjadi platform kepada syarikat konsesi dan profesional berkaitan lapangan terbang berkongsi perkembangan terbaharu dalam meningkatkan peluang perniagaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X