Selasa, 4 Disember 2018 | 6:12pm
Pengenalan Digital Lounge pertama CIMB Bank (Vietnam) Ltd (CIMB Vietnam) di bandar Ho Chi Minh dan pelancaran aplikasi OCTO by CIMB.

CIMB Vietnam lancar Digital Lounge, OCTO

HO CHI MINH: CIMB Bank (Vietnam) Ltd (CIMB Vietnam) memperkenalkan Digital Lounge pertamanya di bandar Ho Chi Minh serta melancarkan aplikasi perbankan mudah alih bagi pelanggannya, dikenali sebagai OCTO by CIMB (OCTO).

Pelancaran berkenaan menandakan permulaan operasi perbankan digital CIMB Vietnam yang menawarkan perkhidmatan mudah alih pantas, selamat dan selesa sepanjang masa.

Ia dirasmikan Pengerusi CIMB Group, Datuk Mohd Nasir Ahmad.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Ketua Eksekutif CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz; Pengerusi CIMB Vietnam, Datuk Wira Zainal Abidin; Ketua Perbankan Pelanggan Kumpulan CIMB Group, Samir Gupta serta Ketua Eksekutif CIMB Vietnam, Thomson Fam Siew Kat.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata pelancaran berkenaan bukan saja menunjukkan komitmen jangka panjang pihaknya kepada pasaran Vietnam tetapi juga mengejar cita-cita untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan ASEAN.

“Sebagai satu daripada pasaran yang pantas berkembang di rantau ini, dengan kestabilan makroekonomi, budaya keusahawanan yang kukuh serta populasi yang didominasi golongan muda, Vietnam adalah negara yang dianggap menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi ASEAN.

“Dengan rangkaian kukuh CIMB di ASEAN, kami yakin telah memasuki pasaran negara ini pada masa yang tepat untuk memulakan pembangunan ekosistem yang bukan hanya menyediakan produk dan perkhidmatan perbankan yang hebat tetapi juga tawaran lain yang menambah nilai kepada pengalaman pelanggan CIMB,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bandar Ho Chi Minh menjadi lokasi pertama cawangan CIMB Vietnam di negara berkenaan susulan penubuhan ibu pejabatnya di Hanoi pada 2016.

Berita Harian X