Jumaat, 7 Disember 2018 | 5:58pm
LAMAN sesawang MASwings di www.maswings.com.my/
LAMAN sesawang MASwings di www.maswings.com.my/

MASwings henti operasi 8 laluan di Sabah, Sarawak mulai 1 Januari

KOTA KINABALU: MASwings akan menamatkan operasinya di lapan laluan domestik di Sabah dan Sarawak, berkuatkuasa 1 Januari depan.

Laluan itu ialah Kota Kinabalu-Sandakan-Kota Kinabalu, Kota Kinabalu-Tawau-Kota Kinabalu, Kota Kinabalu-Miri-Kota Kinabalu, Kota Kinabalu-Sibu-Kota Kinabalu, Kota Kinabalu-Bintulu-Kota Kinabalu, Kuching-Sibu-Kuching, Kuching-Bintulu-Kuching dan Kuching-Miri-Kuching.

MASwings, dalam kenyataan medianya, di sini, hari ini, memaklumkan keputusan menarik balik operasi itu diputuskan kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan sebagai sebahagian daripada Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO) yang baharu antara MASwings dengan kementerian berkenaan.

“Semua laluan itu akan dikeluarkan oleh kerajaan daripada perjanjian PSO yang terbaru kerana ia tidak lagi berada di bawah definisi PSO mengikut Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

“Bagaimanapun, keputusan ini tidak akan mengganggu perkhidmatan udara ke destinasi terbabit kerana terdapat syarikat penerbangan komersial lain yang beroperasi,” katanya sambil menambah MASwings hanya beroperasi di lapan laluan itu sehingga 31 Disember ini.

MASwings menyesali sebarang kesulitan yang berlaku berikutan penamatan perkhidmatan ditawarkan syarikat berkenaan di lapan laluan terbabit.

“Semua penumpang yang terjejas sudah dimaklumkan melalui e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon selain diberi pilihan untuk menukar perjalanan mereka ke tarikh yang lebih awal, tertakluk kepada kekosongan tempat duduk atau tuntutan bayaran balik sepenuhnya.

“Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh berhubung dengan pusat panggilan Malaysia Airlines yang beroperasi 24 jam di talian 1300 88 3000 dan +6 03 7843 3000 bagi luar Malaysia atau ejen pelancongan atau boleh juga terus ke pejabat kaunter tiket MASwings atau Malaysia Airlines,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X